Gambar 'bocor', Sang Penyu sudah ada pengganti Mickey?


  • Podium
  • Khamis, 24 Nov 2022

Faisal Halim dengan beberapa laporan mengatakan dia bakal menyertai Selangor FC. — Facebook Terengganu FC

SELEPAS Faisal Halim disahkan menamatkan kontraknya bersama skuad Sang Penyu pada musim depan, pasti ramai penyokong masih tertanya-tanya siapa pengganti yang layak untuk mengganti pemain lincah itu.

Malah, pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) juga dikatakan sedang giat mencari pemain lain yang berkualiti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Antara nama kerap disebut di beberapa halaman Facebook penyokong ialah Sony Norde yang merupakan pemain import dan tonggak Melaka United.

Kelincahan pemain dari Haiti yang menggalas tugas beraksi di bahagian sayap kiri dikatakan pengganti yang sesuai buat Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey dalam kalangan penyokong.

SONY

Gambar bocor yang dikongsikan penyokong di halaman Facebook Malayantigerfans — Facebook

Terbaharu, tular satu gambar melalui di ruangan komen halaman Facebook Malayantigerfans yang dikongsikan peminat bola sepak tanah air memaparkan pemain berusia 33 tahun itu berada di salah sebuah premis makanan disyaki bersama pihak pengurusan TFC pada Khamis.

Kehadirannya itu menguatkan lagi khabar angin bahawa pemain berketinggian 1.76 meter itu bakal berhijrah ke TFC.

Sekiranya benar berlaku, perpindahan Sony ke kelab TFC itu pastinya ditunggu-tunggu oleh penyokong skuad Hitam Putih.

sony

Khabar angin mengatakan Sony Norde bakal berhijrah ke Pantai Timur musim depan semakin kuat dibincangkan selepas gambarnya mula tular di media sosial Facebook/Melaka United FC

Menurut Prince Neo Faisal, fizikal Sony Norde tegap boleh mengganti tempat Faisal di sayap kiri.

"Body 'keras' Sony Norde bole tampung tempat faisal sayap kiri, tunggu rundingan Timoslav dengan Safawi Rashid pula. Moga kembali ke Terengganu mandi 'air bunga' untuk pakai jersi nombor tujuh," katanya.

Seorang lagi penyokong, Mi turut berharap agar pemain itu bakal beraksi bersama TFC musin hadapan.

"Pemain yang ini mantap dan terbaik. Rugi kalau tidak diambil untuk bermain bersama pasukan," tulisnya

Untuk rekod, Sony Norde telah mempamerkan aksi terbaik beliau bersama Melaka United musim ini walaupun pasukan tersebut berdepan dengan isu tunggakan gaji.

Sony telah beraksi dalam 14 perlawanan dalam Liga Super bersama skuad Hang Tuah dan menjaringkan dua gol serta menghasilkan enam bantuan gol di samping mengumpul 63 minit permainan keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram