CUTI umum yang dinanti-nanti 33 juta rakyat Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) secara rasmi menerajui kerajaan persekutuan akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman tersebut dibuat Anwar pada sidang akhbar pertamanya sebagai Perdana Menteri di Sungai Long Club House, Kajang selepas beliau mengangkat sumpah jawatan nombor satu negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.
Perdana Menteri berkata, cuti umum itu ditetapkan pada Isnin depan.
"Fokus utama saya sebagai Perdana Menteri adalah ekonomi, kita tengok hari ini dan sebelumnya, keyakinan pelabur berubah, bursa saham lebih segar jadi saya memutuskan hari esok (Jumaat) tidak menjadi cuti umum, tetapi diganti dengan hari Isnin minggu depan," katanya.
Beliau berkata, penetapan cuti khas itu telah dibincang dengan Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Setiausaha Negara.
"Saya bincang dengan KSN dan YDPA (berhubung cuti umum), kerana saya sudah janji bagi cuti Isnin tapi (pembentukan kerajaan) belum beres, tapi hari ini (Khamis) dah beres, dan saya akan menepati janji, jadi cuti akan dianjak Isnin minggu depan," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PH itu memaklumkan akan mengumumkan cuti umum selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diperoleh pada 19 November nanti.
Keyakinan PH akan memenangi PRU15 dan beliau akan menjadi Perdana Menteri itu diucapkannya ketika menyampaikan ceramah pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan pada 7 November lalu.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 menoktahkan teka-teki siapakan pemimpin nombor satu negara selepas negara berdepan situasi Parlimen tergantung, yang pertama dihadapi negara sejak pilihan raya umum diadakan pada tahun 1955.
Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan gabungan parti antaranya PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).
Selain itu, Gabungan Parti Sarawak memperoleh 23 kerusi Parlimen, Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram