BEKAS Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih ekoran kekalahan parti Pejuang dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Dr Mahathir dalam kenyataan di akaun Facebook rasminya pada Rabu berkata, dia bagaimanapun menerima pilihan rakyat dan berharap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan.
"Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.
"Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur, apa yang boleh dilakukan ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi negara.
Manakala beliau sendiri, katanya akan memberi tumpuan kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara.
"Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.
"Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis," katanya.
Untuk rekod, Pejuang yang berada di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) kalah dalam semua pencalonan di PRU15.
Selain itu, Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz gagal mempertahankan kerusi masing-masing, selain kedua-duanya hilang wang deposit apabila memperoleh jumlah undi sangat rendah.
Selepas beberapa dekad, Dr Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU15, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi. Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram