Siapa PM belum terjawab, Agong adakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara pada Khamis


  • Primer
  • Rabu, 23 Nov 2022

Yang di-Pertuan Agong akan meminta pandangan Majlis Raja-Raja pada Khamis mengenai kebuntuan pembentukan Kerajaan Persekutuan ketika ini.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menghadap Majlis Raja-Raja dalam satu mesyuarat khas di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.

Difahamkan, Seri Paduka akan meminta pandangan Majlis Raja-Raja mengenai kebuntuan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang dihadapi ketika ini.

Mesyuarat yang dijadualkan akan bermula pada pukul 10.30 pagi dan ia dijangka berlangsung sekurang-kurangnya tiga jam.

Sumber-sumber istana berkata, mesyuarat khas itu akan menjadi sesuatu yang amat penting buat negara.

Yang di-Pertuan Agong cuba menubuhkan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, namun setakat ini gagal.

Raja-raja dijangka diberikan taklimat mengenai prosedur undang-undang kerana Parlimen telah digantung.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa semua 30 Ahli Parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Memberitahu perkara tersebut kepada Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata, dia bersama dua lagi pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah tersebut semasa menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pagi Rabu.

Majlis Raja-Raja juga turut dijadualkan berlangsung pada Isnin (28 November).

Dalam pada itu, Istana Negara dalam kenyataan pada Rabu mengesahkan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada Khamis.

Kenyataan itu memaklumkan, perbincangan itu bertujuan untuk Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara pada Khamis.

"Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.

"Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti.

“Rakyat telah pun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram