SELEPAS lima hari Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) diadakan, negara masih lagi berada dalam keadaan bercelaru apabila pelantikan Perdana Menteri masih belum diputuskan secara muktamad.
PRU15 yang diadakan bertujuan untuk membentuk satu politik yang stabil dalam negara nampak seperti tidak mencapai matlamat.
Penyelesaiannya kini hanya dua, iaitu membentuk satu kerajaan minoriti atau kerajaan perpaduan.
Pakar Geostrategi dan penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, dia melihat kerajaan perpaduan sebenarnya adalah langkah penyelesaian yang terbaik.
"Kerajaan perpaduan yang terbaik kerana semua parti terlibat iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan lain-lain.
"Tetapi hakikatnya mustahil untuk dilakukan kerana tiada kesepakatan dalam semua parti yang terlibat.
"BN tidak boleh bersepakat dengan kedua-dua parti ini. Malah, terdapat dua kem pula dalam parti yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya kepada Majoriti.
Dua pemimpin utama (dari kiri) Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kerajaan minoriti langkah terakhir
Menurut Dr Azmi, menjadikan pembentukan kerajaan minoriti sebagai yang terbaik dalam negara kerana BN yang tentutkan siapa bakal bentuk kerajaan sama ada PN atau PH.
"Katakanlah BN ambil keputusan untuk sokong sama ada PN atau PH tanpa berada dalam kerajaan.
"BN boleh berada di luar kerajaan dengan sokongan terhadap PN atau PH untuk tubuh kerajaan. Itu adalah kerajaan minoriti," katanya.
Jelasnya, walaupun BN berada di luar kerajaan, parti itu boleh membuat perjanjian dengan PN atau PH yang memberi kelebihan kepada mereka.
Ujarnya, menerusi perjanjian itu, BN walaupun berada di kerusi pembangkang boleh mengusulkan cadangan di Pelimen dan kerajaan persekutuan kena sokong.
"Perkara ini dipanggil sebagai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA). Disebabkan perjanjian ini juga, kerajaan Kanada yang dipimpin Justin Trudeau masih kekal hingga masuk penggal ke dua.
"Ini kerana New Democratic Party (NDP) memberi sokongan kepadanya sekali gus mewujudkan sistem yang stabil," katanya.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi belum menyatakan sokongan terhadap PN atau PH.
BN rugikan diri sendiri
Apa yang berlaku kini memperlihatkan BN tetap dengan keputusan mereka untuk tidak memilih jalan sehaluan dengan mana-mana gabungan politik.
Perkara ini yang menyebabkan negara terkandas dalam memilih siapa yang bakal dilantik menjadi pemimpin negara.
Bagi Dr Azmi, apa yang dilakukan BN kini ibarat merugikan diri mereka.
"BN sebenarnya masih boleh meneruskan agenda politik mereka walaupun bergerak sebagai pembangkang.
"Tapi dengan sikap berkecuali, satu benda pun BN pun tak dapat. Tubuh kerajaan pun tak dapat. Nak teruskan agenda parti pun tak dapat," katanya.
Untuk rekod, setakat tengah hari Rabu, dua pemimpin tertinggi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan hadir ke Istana Negara.
Ini kerana titah yang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk semua Ahli Parlimen hadir ke Istana Negara pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram