Antara gunting dan kesetiaan, mesej jelas penyokong Kedah untuk pengurusan


  • Tular
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Tangkap layar yang menunjukkan penyokong KDA FC kecewa dengan kekalahan serta pengurusan pasukan itu.

KECEWA dengan keputusan perlawanan pasukan Kedah FC kebelakangan ini, ianya nyata memberikan kesan yang cukup mendalam pada penyokong setia pasukan itu.

Tewas empat daripada lima perlawanan liga super, perjalanan KDA FC di Piala AFC juga terhenti selepas tunduk 1-2 ditangan PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Kekalahan itu bukan sahaja mempamerkan kelemahan kualiti pasukan, malah turut menjadi penanda aras pada pengurusan serta barisan kejurulatihan yang dilihat gagal membuahkan hasil untuk musim ini.

Kekecewaan penyokong boleh dilihat menerusi satu video yang tular di laman media Facebook apabila lelaki yang dikenali sebagai Tok Lalang ini memuat naik sebuah video umpama mesej terselindung yang cuba disampaikan pada pihak pengurusan KDA FC.

Perkongsian video tersebut nyata menerima pelbagai reaksi dan komen daripada netizen dan setakat ini telah mencapai sebanyak 8,000 jumlah tontonan di Facebook.

Salah seorang penyokong Mahfiz Morad berkata, "Untuk ada pokok yang baik, baja dan akar tu sangat penting.. mohon tukar pengurusan," katanya.

Abdul berpendapat bahawa pasukan itu sememangnya dalam era kejatuhan dan tidak mustahil jika turun ke liga bawahan.

"Kedah dalam era kejatuhan di dalam gaung yang kegelapan, tunggu hari je nak main liga FAM," katanya.

Fatin Najwa menambah, "Kedah depa mana ingat kita ni sebagai penyokong, depa tak hargai pun sokongan kita sebab tu depa tak kisah apa jadi pun," katanya.

Menurut laporan MFL, KDA FC bakal melayan kunjungan Sabah FC untuk perlawanan Liga Super seterusnya pada 17 Ogos ini di Stadium Darul Aman, Kedah.

Untuk rekod, Kedah kini berada di kedudukan tangga ke tujuh liga berkongsi 17 mata dengan Sri Pahang FC dan Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram