Hector Bidoglio jadi tarikan bintang dunia sertai JDT, 3 nama jadi sebutan


  • Podium
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Taktikal yang dipamerkan oleh JDT di bawah kendalian Hector Bidoglio dijangka membawa perubahan besar pada pasukan. — Agensi

SEGAR dengan kemenangan ke atas Penang FC pada peringkat separuh akhir Piala FA, fokus Johor Darul Takzim (JDT) ketika ini pastinya ke arah perlawanan akhir menentang Terengganu FC.

Kemasukan jurulatih baharu, Hector Bidoglio bukanlah pemilihan tangkap muat yang dipertikaikan sesetengah piha, tetapi dia membuktikan bahawa JDT itu sememangnya sebuah pasukan yang unggul dan terulung di Malaysia dengan kemenangan besar yang dilakar di separuh akhir.

Diperkuatkan lagi dengan pemain import yang baru sahaja ditandatangani, Jordi Amat semestinya menjadi tumpuan para penyokong mahupun pasukan lawan yang bakal dihadapi.

Memiliki ramai pemain berstatus bintang dan terkemuka dunia, Jordi Amat merupakan muka baharu yang bakal memperkuatkan lagi barisan pertahanan JDT pada perlawanan akan datang.

amat

Jordi Amat dijangka membuat kemunculan pada perlawanan menentang Terengganu FC di peringkat akhir Piala FA.— Agensi

Selain daripada Jordi, Bergson Da Silva, Mauricio Dos Santos, Leandro Sebastian Valesquez, Shane Lowry dan Fernando Rodriguez merupakan antara pemain import yang telah banyak menyumbang pada kejayaan JDT di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

Dengan pencapaian luar biasa sejak mendominasi Liga Super bermula 2015 sehingga ke hari ini selain kecemerlangan di persada kejohanan Asia, pastinya ramai bintang luar mahu merasai sendiri pengalaman bermain bersama JDT di bawah kendalian Hector Bidoglio.

Antara nama yang sering disebut dan menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong adalah Gaston Avila pertahanan kelab Royal Antwerp FC, Marcus Acuna pertahanan kelab Sevilla FC dan Enzo Fernandez pemain sayap kelab Benfica FC.

Tiga pemain ini kini sedang beraksi di Eropah bersama kelab masing-masing dan memiliki potensi besar untuk dibeli oleh JDT pada masa akan datang memandangkan kebanyakan pemain import yang sedia ada merupakan pemain dari benua itu.

Mengulas lanjut potensi Harimau Selatan itu, bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor berkata, JDT sememangnya tidak akan berhenti membawa masuk lebih ramai lagi pemain import yang bagus di masa akan datang.

"DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) sememangnya akan menjadikan JDT sebagai sebuah pasukan berstatus 'elite' di Malaysia bagi menempa lebih kejayaan bukan shaja di dalam negara, malah di kejohanan ACL dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Ditanya soal kejuaraan Piala FA peringkat akhir yang bakal menemukan JDT dan Terengganu FC, beliau lantas dan yakin dengan keputusan bahawa JDT bakal memenangi piala tersebut.

"Jika dilihat daripada segi skil dan kebolehan individu pemain, ternyata pasukan JDT memiliki kelebihan berbanding pasukan Terengganu FC lebih-lebih lagi dengan kemasukan pemain pertahanan baru Jordi Amat, semestinya kekebalan pemain itu tidak boleh disangkal lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram