BARISAN Nasional (BN) dijangka tidak akan bergabung dengan mana-mana pakatan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan perubahan di akaun rasmi Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Zahid Hamidi, wujud tanda-tanda bahawa BN akan berfungsi sebagai pembangkang.
"Lawan tetap lawan," balas Zahid Hamidi terhadap satu komen.
Selain itu, akaun tersebut dikemaskini dengan gambar-gambar baharu yang menunjukkan beliau memakai baju BN sedang menyantuni rakyat.
Pada Isnin, Zahid bersama sejumlah Ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan dengan blok Pakatan Harapan, dipercayai bagi membentuk gabungan kerajaan.
Bagaimanapun, tiada kata putus dicapai dalam pertemuan yang berlangsung di Hotel Seri Pacific itu, sebaliknya difahamkan BN memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh pencalonan Perdana Menteri.
Agong kemudiannya memperkenan permohonan itu dan memberi masa sehingga 2 petang Selasa bagi mengemukakan calon Perdana Menteri.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen baharu Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan juga memberi bayangan bahawa BN akan bergerak sebagai pembangkang.
Beberapa jam selepas pertemuan di Seri Pacific, Mohamad Hasan memuat naik hantaran yang menyatakan pendirian BN.
Tangkap layar perubahan pada gambar profil Facebook Zahid
"Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.
"Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.
"BN bersedia menjadi pembangkang yg bertanggungjawab 'check and balance' kerajaan baru.
"Walaubagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
"Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu.
"Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT jua," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram