Zahid patut letak jawatan, ikut macam Najib — MB Johor


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Onn Hafiz (kiri) mendesak Zahid supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno. — Facebook/Onn Hafiz

RENTETAN prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Onn Hafiz Ghazi mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno serta-merta.

Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor itu berkata, Ahmad Zahid harus mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018 yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno ekoran kekalahan memalukan ketika PRU14.

logopru

“Langkah murni ini akan membantu kita dalam langkah pertama untuk pemulihan dan mendapatkan semula kekuatan Umno parti tercinta kita.

“Walaupun ia pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk saya sendiri harus kembali kepada rakyat dan mendengar suara mereka yang telah diterjemahkan melalui undi mereka pada PRU15.

“Ramai pemimpin yang berpotensi dan berkaliber dalam Umno, MCA dan MIC terkorban kerana kita tidak mendengar akar umbi.

"Kita semua harus berani mengubah haluan masa depan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, Umno telah 'runtuh' ​​di bawah tsunami politik Melayu apabila masyarakat telah 'menolak' Umno.

“Barisan dan Umno hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen di Johor manakala tiada satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu menjadi milik kita,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram