'No PH', Muhyiddin jamin selesai segera isu bentuk kerajaan


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Muhyiddin dan Hadi yang menerajui tampuk pimpinan PN menolak kerjasama dengan gabungan PH. — Bernama

PERIKATAN Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang sehaluan serta boleh menerima prinsip perjuangan gabungan itu dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu bagaimanapun menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan campuran.

"Saya akan berbincang dengan pimpinan parti-parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat. Setakat ini respons dari mereka, kita dapati amat menggalakkan.

"Demi menjamin kestabilan negara, PN juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan gabungan ini yang menawarkan kerajaan prihatin, bersih dan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar PN yang turut dihadiri kepimpinan PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin berkata, PN akan menyerahkan keputusan untuk bekerjasama kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi parti dengan mengambil kira situasi dan keadaan tertentu.

"Apabila saya kata bersedia (kerjasama) tu, kita tak payah nak sebut (parti mana). Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini, maka kita dapat lahirkan suasana politik negara yang paling stabil," katanya.

Pada akhir sidang akhbar itu, Muhyiddin menyatakan kerjasama itu tidak akan membabitkan PH.

"Tidak, not with PH," katanya ringkas.

Pada masa sama, Muhyiddin turut memaklumkan PN menerima surat dari Istana Negara yang mengandungi perkara tertentu yang perlu disempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong.

"Kandungan surat kita tak boleh dedahkan. Perkara ini memerlukan kita mengambil langkah secepat mungkin.

"Bermakna, sebahagian daripada perbincangan akan kita lakukan pada esok hari (Ahad) dan dimuktamadkan pada petang Ahad," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, jika PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti lain, tumpuan PN adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dibentangkan dalam manifesto PRU15.

PN memperoleh kejayaan luar jangka selepas memenangi 73 kerusi Parlimen pada PRU15.

Setakat 3 pagi Ahad, enam kerusi PN masih belum selesai proses pengiraan undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram