"Saya ada fakta, kalau khabar angin tanya Muhyiddin", Anwar pertahan miliki angka bentuk kerajaan


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Anwar sah memenangi kerusi Parlimen Tambun. — Bernama

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa gabungan parti-parti komponennya sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan apabila memperoleh lebih daripada 111 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

Beliau yang sah memenangi kerusi Parlimen Tambun itu mendakwa PH sudahpun memiliki dokumen lengkap untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami dapat membentuk blok majoriti untuk membentuk kerajaan seterusnya.

"Kami telah melepasi angka 111, 112," katanya kepada pemberita pagi Ahad.

Ketika disoal media mengenai dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungannya memiliki kerusi yang solid untuk mengetuai pembentukan kerajaan persekutuan.

Anwar menjawab: "Mustahil. Kami ada bukti hitam putih. Saya tak layan khabar angin. Kalau nak khabar angin, tanya Muhyiddin".

Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan sokongan yang diterimanya, dan berkata ia hanya akan didedahkan selepas menyerahkan angka itu kepada Agong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram