4 sentimen jadi penghalang bentuk kerajaan gabungan


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Tiada gabungan akan membentuk kerajaan yang stabil disebabkan sentimen tertentu.

TIADA gabungan yang stabil akan dapat dibentuk berdasarkan sentimen daripada setiap parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun Pakatan Harapan (PH) memperoleh kerusi Parlimen paling dominan dengan 82 kerusi bersama DAP dan Muda, tetapi gabungan itu sukar untuk membentuk kerajaan dengan gabungan parti yang lain.

Perikatan Nasional (PN) dan PAS secara bersama meraih 73 kerusi Parlimen sebagai kuasa gabungan kedua terbesar manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi.

Gabungan Parti Sarawak yang selama ini menjadi deposit kerusi BN pula memperoleh 22 kerusi manakala Gabungan Rakyat Sabah meraih enam kerusi.

Berdasarkan analisis dan isu antara tiga pakatan utama iaitu PH, PN dan BN, amat sukar untuk rakyat Malaysia melihat pembentukan kerajaan yang stabil.

Berdasarkan empat senario berbeza melibatkan gabungan antara tiga kuasa utama politik tanah air ini, Majoriti mengenal pasti beberapa isu yang akan menjadi penghalang kepada pembentukan kerajaan campuran.

MARANG, 19 Nov -- Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) yang juga calon Parlimen P037 Marang melambai tangan kepada media semasa hadir di Sekolah Kebangsaan Rusila di sini untuk mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.Seramai 915,748 pengundi di Terengganu antara lebih 20 juta rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka bagi memberi mandat kepada parti politik yang dipilih untuk pembentukkan kerajaan persekutuan baharu. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hadi Awang bertegas tidak akan bekerjasama sama dengan DAP.

Gabungan PH-PN

Umum sudah mengetahui bahawa PN mampu menyerlah pada PRU15 disebabkan kerjasama dengan PAS.

Untuk melihat PN bergabung dengan PH adalah hampir mustahil kerana PAS terlebih awal memberitahu tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP.

Perkara itu ditegaskan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sehari sebelum tarikh pengundian PRU15 dengan mendakwa mereka enggan kembali bekerjasama dengan DAP disebabkan parti itu bersifat ekstrem, cauvinis serta jelmaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

Beliau berkata, ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengajak PAS untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR, namun ia ditolak disebabkan PAS baru saja keluar Pakatan Rakyat.

"Tun (Dr Mahathir) mengemukakan cadangan untuk membuat pakatan yang ada DAP, PKR, Amanah bergabung untuk menjatuhkan BN.

"Tetapi saya tidak setuju, saya beritahu (pada Dr Mahathir) kita baru saja keluar sebab bercanggah dengan parti itu. Tidak betul untuk masuk semula selepas dah keluar," katanya.

Malah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sekali lagi mengulangi tidak akan bekerjasama dengan PH ketika beliau mengumumkan kemenangan PN.

GPS tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan pernah melarang PAS agar tidak bertanding di Sarawak.

Gabungan PN-GPS

Jika PAS menolak untuk bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan, situasi yang sama juga menjadi penghalang untuk PN bergabung dengan GPS bagi membentuk kerajaan.

Secara matematiknya, PN dan GPS boleh membentuk majoriti mudah dengan sokongan daripada GRS.

Bagaimanapun, sentimen GPS yang menolak PAS sebelum ini, menjadi tembok penghalang untuk kedua-dua pihak menubuhkan kerajaan.

Pada November 2022, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kenyataannya sebelum ini bahawa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak wajar bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi mengelakkan perebutan kerusi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata sebagai rakan kongsi dalam satu pergerakan politik, semua parti dalam kerajaan sepatutnya menyokong antara satu sama lain dan tidak berlawan sesama sendiri.

Bring it on: Rozabil (right) seen here with Shahidan after the nomination announcement was made. — Bernama

Shahidan Kassim (tengah) mempertahankan Arau atas tiket PN.

Gabungan PN-BN

PN dan BN sukar untuk membentuk kerajaan kerana kedua-dua pakatan itu berasal dari bekas-bekas ahli yang lompat parti.

PN yang dipimpin Bersatu dibarisi kebanyakan ahli bekas Umno yang lompat parti susulan kekalahan BN pada PRU14.

Malah ada juga pemimpin Umno seperti Datuk Seri Shahidan Kasim yang menyertai PN selepas tidak diberikan tempat bertanding mempertahankan kerusinya di Arau.

Situasi yang sama juga berlaku Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang bertanding di Maran atas tiket PN selepas tidak diterima BN.

Bagaimanapun, gabungan itu mungkin menjadi kenyataan selepas PN berkemungkinan besar akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

"Kami tidak berminat untuk berurusan dengan Pakatan Harapan. Sekarang ini, kami ada mesyuarat bersama di Shah Alam. Jadi bos akan membuat keputusan," kata sumber parti.

Beliau berkata kerjasama dengan BN akan tertakluk kepada beberapa istilah dan syarat.

“Kita ada senarai tuntutan dan salah satunya ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti berundur segera, baru kita akan berbincang,” kata sumber itu.

DAP supporters escorting Ramkarpal Singh (centre, arm raised) to file his nomination papers also for Bukit Gelugor.

DAP menolak kerjasama dengan GPS yang pernah bersama-sama BN.

Gabungan PH-GPS

Gabungan PH-GPS menjadi idaman rakyat Malaysia dengan harapan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelar Perdana Menteri.

Dua pakatan itu dapat mencapai majoriti mudah 112 kerusi Parlimen jika bersatu tetapi kerjasama itu sukar direalisasikan hanya disebabkan sentimen BN dan DAP.

Bagi Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, beliau percaya mustahil untuk mengharapkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

Beliau berkata, parti komponen GPS pernah menganggotai BN hingga 2018.

Dalam kenyataan, beliau berkata, GPS menunjukkan taat setianya kepada Umno apabila sanggup bersama BN membentuk kerajaan pada Mac 2020, sejurus kerajaan PH jatuh dan pada Ogos 2021, susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang ketika itu sebagai perdana menteri.

Di pihak GPS pula, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya lebih selesa membentuk gabungan dengan mana-mana parti kecuali PH terutamanya DAP.

Mengimbau kembali PRU14, kata Abdul Karim, PH telah memenanginya dan telah menganggap GPS sebagai pembangkang.

“Kita (Kerajaan Sarawak) diganggu dan banyak projek telah dibatalkan. Kita masih ingat semua ini.

“Pada masa ini kita rapat dengan semua parti politik kecuali PH,” jelas Abdul Karim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram