GPS belum 'dilamar' PN, PH


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Abang Johari (tengah) meraikan kejayaan GPS pada PRU15 kali ini. — Bernama

PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan prestasi gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memenangi 21 daripada 31 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di negeri itu.

Beliau berkata, jumlah itu sudah melepasi 19 kerusi yang dimenangi ketika GPS, yang terdiri daripada empat parti, bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 pada 2018.

"Hari ini (Sabtu) sah 21 (kerusi) dan kalau dikira, akan dapat dua lagi jadi penambahan 23 (kerusi). Ini jumlah yang memuaskan," katanya pada sidang akhbar di Kuching, Sarawak pada lewat malam Sabtu.

Tambahan dua kerusi yang dirujuk Abang Johari ialah Limbang dan Baram.

logopru

Keputusan rasmi bagi Limbang tidak dapat diumumkan malam Sabtu kerana beberapa peti undi belum tiba di pusat penjumlahan, manakala pengundian di Baram terpaksa ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan cuaca buruk.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, pencapaian GPS pada pilihan raya kali ini adalah dalam anggaran mereka menjelang hari pengundian dengan satu daripada parti komponennya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berjaya memenangi tambahan kerusi untuk mereka iaitu di Sarikei.

Beliau berkata, kemenangan di Sri Aman dan Lubok Antu juga penting kepada GPS serta menyifatkan kekalahan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum di Julau sebagai tidak bernasib baik.

Abang Johari berkata, GPS juga berhasrat untuk menang di kerusi Parlimen Saratok, namun pengundi di kawasan itu telah membuat keputusan sebaliknya.

"Kita perlu menerima keputusan rakyat. Anda perlu menghormati keputusan mereka. Memanglah kita meletakkan calon untuk menang tetapi inilah politik,” katanya.

Datuk Ali Biju daripada Perikatan Nasional-Bersatu memenangi kerusi itu selepas memperoleh 19,223 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Giendam Jonathan Tait (GPS) yang meraih 10,397 undi dan Ibil Jaya (Pakatan Harapan), yang mendapat 1,221 undi serta hilang wang deposit.

Abang Johari juga berkata, terdapat kemungkinan satu gabungan Kerajaan Persekutuan akan dibentuk susulan keputusan PRU15 setakat ini yang menyaksikan tiada gabungan atau parti muncul sebagai pemenang yang jelas atau memiliki jumlah kerusi dominan.

"Saya belum mendapat butiran mengenai keputusan di Semenanjung Malaysia meskipun saya telah dimaklumkan bahawa BN sedikit mendahului dalam pilihan raya ini. Isu sama ada GPS akan bekerjasama dengan mereka akan diputuskan kemudian.

"Saya tidak ada butiran lengkap daripada rakan di Semenanjung mengenai kedudukan mereka, tetapi saya jangka memang akan terbentuk kerajaan campuran, bagaimana campuran itu berlaku, kita tak tahu lagi, tunggu sajalah,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram