Ahmad Zahid menang tipis di Bagan Datuk


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Kedudukan undian Ahmad Zahid dikejar rapat calon PH.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid menang tipis di Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti undian sebanyak 348.

Ahmad Zahid memperoleh undi sebanyak 16,578 undi diikuti calon Pakatan Harapan, Shamsul Iskandar Mohd Akin memperoleh 16,230 undi.

Dua lagi calon, Muhammad Faiz Na'aman (Perikatan Nasional) memperoleh 8,822 undi dan calon bebas, Tawfik Ismail, 226 undi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tersungkur di Parlimen Gerik selepas disingkirkan calon Perikatan Nasional, Fathul Huzir Ayob yang menang dengan jumlah undian 15,105.

Asyraf Wajdi mengutip 13,728 undi manakala calon Pakatan Harapan, Mohd Tarmizi Mohd Jam mendapat 5,779 undi.

Di Parlimen Lenggong, calon BN, Dr Shamsul Anuar Nasarah menang dengan jumlah 12,588 undi mengalahkan calon PN, Rif'aat Razman (11,709 undi) dan calon PH, Jurey Latiff Rosli (3,382 undi).

Sementara itu, Parlimen Pasir Salak pula menyaksikan Jamaludin Yahya menang dengan majoriti 5,003 undi.

Jamaludin memperoleh 24,897 undi menewaskan calon BN, Khairul Azwan Harun (19,894 undi); calon PH, Nik Omar Nik Aziz (11,693) dan calon GTA, Zairol Hizam Zakaria (539 undi).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan kerusi di Parlimen Larut selepas meraih majoriti 11,598 undi.

Dia menewaskan tiga lagi calon lain iaitu Shafiq Fhadly Mahmud (BN), 16,752 undi; Zolkharnain Abidin (PH) 6,207 undi dan Auzaie (GTA), 566 undi.

Parlimen Bagan Serai turut menyaksikan kemenangan calon PN yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dengan 33,753 undi.

Calon BN, Zul Helmi Ghazali meraih 15,202 undi; Siti Aishah Shaik Ismail (PH), 6,101 undi dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya dengan 383 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram