Ismail Sabri pertahan kedudukan di Bera, Rara menang tipis di Bentong


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Rara mendahului dengan jumlah undi terbanyak di Parlimen Bentong.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahan kerusi Parlimen Bera dengan majoriti 16,695 undi apabila memperoleh 31,762 undi.

Dua lagi calon yang bertanding, Datuk Asmawi Harun (Perikatan Nasional) memperoleh 12,719 undi manakala Abas Awang (Pakatan Harapan) meraih 15,067 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengekalkan kerusinya selepas menang dengan majoriti 8,399 undi.

Pengerusi PN Pahang itu mendapat 41,692 undi menewaskan calon BN, Datuk Quek Tai Seong yang mendapat 16,530 undi; Zuraidi Ismail (PH) 33,293 undi dan Dr Mohamad Nor Sundari (Gerakan Tanah Air) 1,864 undi.

Saingan sengit di Parlimen Maran pula menyaksikan calon PN, Datuk Seri Ismail Muttalib (PN) menang dengan majoriti 1,821 undi selepas mendapat 19,600 undi.

Ismail Muttalib menewaskan calon BN, Shahaniza Shamsuddin (17,779 undi), calon PH, Ahmad Shuhor (3,547 undi) dan calon bebas, Muhamad Hafiz Al-Hafiz, 166 undi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PH Pahang, Young Syefura Othman berjaya menang dengan majoriti 692 undi.

Young Syefura atau lebih dikenali dengan nama Rara memperoleh sebanyak 25,075 undi dan diikuti bekas Presiden MCA, Liow Tiong Lai sebanyak 24,383 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Roslan Hassan pula sekadar meraih 16,233 undi manakala penyandang Parlimen Bentong, Wong Tack yang bertanding atas tiket bebas sekadar meraih 798 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram