PERCETAKAN batik dilihat semakin kurang mendapat perhatian dalam kalangan anak muda selepas jarang diberi pendedahan dari usia muda mahupun ketika berada di bangku persekolahan.
Hal itu pasti akan melenyapkan seni halus itu selepas bertahun-tahun lamanya menjadi lambang kemegahan di mata sesiapa yang mampu menghargai ketinggian hasilnya.
Namun, bagi Zulhelmy Hamdan, seni percetakan batik secara semula jadi berjaya mendapatkan tempat dalam hatinya selain melihat hasil batik merupakan satu sumber rezeki.
Meskipun pernah dipersoalkan rakan sekerja akan minat dan bidang itu, pemuda berusia 37 tahun tersebut hanya berdiam diri walaupun terpaksa mengambil angin baharu daripada profesionnya sebagai juruteknik sebelum ini.
"Walaupun saya gembira untuk bekerja di kilang, saya mahu untuk berkembang dalam karier saya kerana ketika itu, gaji yang diterima kurang daripada RM3,000.
"Ketika saya berhenti kerja kira-kira enam tahun lalu, bapa saya meninggal dan saya merupakan satu-satu anak lelaki daripada empat adik beradik," katanya.
Hasil percetakan batik yang menunjukkan bakat Ezry dalam bidang berkenaan. — Zulhelmy Hamdan
Sebelum ini, pemuda yang juga mesra dikenali sebagai Ezry itu pernah menuntut di sebuah koleh komuniti di Pasir Gudang, Johor dengan mengambil jurusan operasi perniagaan dan pereka fesyen pada 2016.
Katanya, dia tertarik untuk menceburi bidang rekaan itu kerana terdapat pelbagai ilmu mampu dipelajari, termasuk percetakan botani yang kerap digunakan dalam penghasilan batik.
Ezry kelihatan tekun dalam mengembangkan lagi minatnya dalam bidang percetakan batik. — Zulhelmy Hamdan
"Saya berasakan kursus itu menarik, lebih-lebih lagi untuk mempelajari bagaimana bunga dan deduan yang dipilih menghasilkan pelbagai unsur seni, seperti warna.
"Jadi, dengan saya mempunyai sedikit ilmu mengenai pengurusan perniagaan, saya mula untuk menjalankan perniagaan cetak batik secara botani di rumah," katanya.
Usahanya itu jelas mencuri perhatian bukan sahaja pengguna, malah beberapa badan pencinta batik apabila dia muncul sebagai naib juara Pertandingan Piala Seri Endon Batik kira-kira dua bulan lalu.
Jelasnya, dia tidak pernah terfikir untuk membawa pulang trofi berprestij itu selain mengakui titik peluh dan keputusannya dalam bidang percetakan membuahkan hasil.
Kini, Ezry sudah memiliki 10 pekerja tetap, termasuk ibu tunggal dan remaja yang membuktikan bahawa perniagaanya semakin berkembang saban hari.
"Dengan memberikan mereka peluang pekerjaan, mereka dapat mempelajari ilmu dan kemahiran baharu serta boleh diberikan semula kepada masyarakat," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram