GPS selesa tawan 22 kerusi Parlimen di Sarawak, bakal jadi penentu bentuk kerajaan Pusat


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

GPS memenangi 22 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

KEPUTUSAN tidak rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 22 kerusi Parlimen daripada 31 yang dipertandingkan, sekali gus memastikan gabungan itu selesa memerintah Sarawak bagi lima tahun akan datang.

Walaupun gabungan itu sebelum ini dikhuatiri tidak berupaya menandingi rekod cemerlangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan bakal menghadapi saingan di beberapa kerusi kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB), PKR dan DAP, keputusan muktamad menunjukkan pengundi negeri itu rata-rata memberi sokongan kepada GPS.

Antara nama besar yang berjaya menawan kerusi masing-masing adalah penyandang kerusi P125 Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Seri Nancy Shukri yang mempertahankan kerusi P193 Santubong.

Dalam masa sama, beberapa parti lain juga menawan beberapa kawasan lain dengan DAP memperolehi lima kerusi dan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing menduduki satu kerusi.

Bagaimanapun, setakat pukul 3 pagi, satu lagi lokasi masih tidak dipastikan keputusan rasmi dengan proses pengiraan undi di P220 Baram masih tidak dimuktamadkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRU15, Keputusan Tidak Rasmi, Sarawak, GPS