'Ayah mengadu sakit badan, penat', anak kongsi keadaan calon DUN Tioman selepas berkempen di Rompin


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Khairyel Harith Md Yunus, 28, ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Jaya, Rompin, Pahang pada Sabtu. — Bernama

CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi Sabtu, dikatakan kelihatan agak penat semasa pulang ke rumah selepas tamat berkempen di Sungai Puteri, Rompin, Pahang.

Anak ketiga Allahyarham, Khairyel Harith, 28, berkata ayahnya begitu bersungguh-sungguh berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, walaupun ada mengadu keletihan akibat jadual kempen yang padat.

"Setiap hari ayah nampak bersemangat untuk keluar berkempen. Selalunya beliau akan keluar dari 8 pagi dan pulang sekejap untuk solat Maghrib di rumah sebelum sambung berkempen hingga tengah malam.

"Malam tadi (Jumaat malam), selepas balik ayah hanya memberitahu sakit badan dan minta disapukan minyak angin, beliau nampak terlalu penat," katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Aman Jaya, di Rompin, Pahang.

Khairyel Harith berkata, ayahnya mempunyai rekod sakit jantung dan pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada 2013.

Jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Rompin kerana menunggu keputusan saringan Covid-19, sebelum bedah siasat dilakukan dan dijangka akan dikebumikan pada Ahad.

Md Yunus, 61, yang merupakan seorang peniaga disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi Sabtu selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Rokiah Md Herham, 62, dan dua lagi anak iaitu Khairunisa Nadirah, 34, dan Khairyel Reezwan, 22.

 Rokiah Md Herham, 62, (tiga, kiri) ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Jaya, hari ini.Suaminya Md Yunus Ramli, 61, yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA Rokiah Md Herham, 62, (tiga, kiri) ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Jaya di Romping, Pahang. Bernama

Pada PRU15, DUN Tioman menyaksikan persaingan lima penjuru iaitu antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan proses pengundian bagi DUN Tioman tidak berlangsung pada Sabtu, dan akan diadakan pada 7 Disember, manakala hari penamaan calon pada 24 November dan hari mengundi awal pada 3 Disember ini.

Sementara itu, Mohd Johari yang turut menziarahi Allahyarham di hospital berkata, beliau sempat bertemu dengan Md Yunus Jumaat malam semasa mereka sama-sama berkempen di Sungai Puteri.

"Kami kenal sudah lama dari 2008. Walaupun berbeza parti, hubungan kami baik dan Allahyarham juga sangat peramah. Jadi kami selalu sahaja berborak tentang politik dan isu setempat di Rompin," katanya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tioman, PRU15, calon, meninggal dunia, kempen