Pengundi ‘angkat kaki’, kecewa pengurusan 2 pusat undi di Lembah Pantai tidak efisyen 


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Pengundi Lembah Pantai ramai yang 'tawar hati' dengan pengurusan SPR yang tidak jelas dan efisyen sehingga memilih untuk tidak membuang undi.

ALASAN menunggu terlalu lama dan beratur panjang menyebabkan pengundi meninggalkan beberapa pusat undi di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sebilangan mereka sudah tiba di lokasi, namun memilih untuk pergi tanpa membuang undi.

Pengundi di padang PPR Kerinchi dan Sekolah Rendah Agama Ibnu Sina yang dijadikan pusat undi kecewa serta merungut kerana terpaksa menunggu beberapa jam.

PRU15

“Selepas dua jam saya menunggu masih beratur panjang.

“Hanya apabila tiba di barisan hadapan barulah diarahkan ke saluran masing-masing.

“Seharusnya ada cara yang lebih baik untuk melakukan ini. Kakitangan di sana tidak membimbing kami atau memberikan sebarang maklumat,” jelas seorang pengundi yang enggan didedahkan namanya.

Sementara itu, seorang pengundi yang hanya dikenali sebagai Malar memberitahu, dia melihat beberapa orang beratur di belakangnya pergi meninggalkan barisan.

“Orang ramai hanya meninggalkan barisan dan menjerit ke arah kakitangan yang bertugas,” ujarnya.

Difahamkan Fahmi Fadzil dalam perjalanan ke Kerinchi untuk menenangkan pengundi pada petang Sabtu.

Disebabkan menunggu lama, ada yang meminta kerusi untuk berehat, namun tidak disediakan.

Ini merupakan pertama kali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih padang bola sepak untuk dijadikan pusat mengundi.

Sebelum ini dimaklumkan lokasi itu tidak kondusif dan kawasan tersebut sudah pun rosak akibat berlaku banjir. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram