TIGA maut dalam kemalangan berasingan yang berlaku di sekitar Sabah pada Isnin.
Menerusi kes pertama, dua pemandu lori maut selepas kenderaan mereka bertembung di Jalan Kampung Bauto Telupid, Beluran, Sabah kira-kira pukul 10 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut melibatkan pemandu lori yang membawa muatan kayu balak dan seorang lagi pemandu treler maut di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.25 pagi.
"Pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya sambil menambah identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, di Sandakan, seorang lelaki, Lai Ming Yeoh, 50, maut selepas kereta jenis pacuan empat rodanya melanggar lori 10 tan.
Misran berkata, mangsa sedang memandu di Jalan Labuk Batu 19, Sandakan ketika kemalangan itu berlaku.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.24 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian. Pegawai perubatan mengesahkan Ming Yeoh meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Katanya, pemandu lori itu mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan sedang disiasat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram