[VIDEO] Suasana makan tengah hari bertukar cemas, Amber Restoran terbakar


  • Tular
  • Isnin, 14 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan kepulan asap tebal menyelubungi premis ruang Amber Restoran.

SATU kebakaran dilaporkan berlaku di Amber Restoran, Nexus Bangsar South, Jalan Kerinchi Kiri 2, Kuala Lumpur pada Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Komander Operasi Ramli Mohamad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.49 tengah hari.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, terdapat kebakaran melibatkan restoran di bahagian dapur.

"Operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran daripada merebak. Dianggarkan keluasan kebakaran 3x3 meter persegi terbakar lima peratus.

"Tiada mangsa yang terlibat. Api dapat dikawal pada pukul 1.16 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.20 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, orang awam turut berkongsi video rakaman kebakaran kecil yang melibatkan premis berkenaan.

Selain itu, video tersebut turut memaparkan kepulan asap tebal menyelubungi premis ruang makanan tersebut.

"Terbakar, terbakar," katanya sambil menunjukkan petugas bomba yang berada di tempat kejadian.

Berikutan kejadian itu, orang ramai terpaksa meninggalkan kompleks membeli belah itu bagi membolehkan pihak bomba memadam api serta mengawal keadaan.

Dalam masa sama, Ramli berkata, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai bersama jentera FRT- 1 dan EMRS- 1 dikerahkan ke lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram