[VIDEO] 'Kemek total', pemandu Proton Preve jadi mangsa tayar lori terbang di Puchong


  • Tular
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Tangkap layar video insiden sebiji tayar tercabut dan melambung ke arah kenderaan mangsa.

TULAR satu video kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Preve yang menjadi mangsa keadaan apabila dihentam sebiji tayar lori di Puchong, Selangor pada Khamis.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di kawasan kejadian.

Menerusi rakaman video tersebut, sebuah lori dilihat memandu laju di laluan bertentangan sebelum sebiji tayar tercabut dan melambung ke arah kereta mangsa.

Ketika kejadian, kereta yang berjaya merakam insiden terbabit sempat mengelak daripada menjadi mangsa keadaan sebelum mengenai kenderaan di belakang.

Difahamkan insiden yang berjaya dirakam berdurasi 29 saat tersebut berlaku di Taman Tasik Puchong, Selangor.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai berdoa agar mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Harapnya pemandu Preve itu berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja, rasa kasihan sebab dia hanya menjadi mangsa keadaan," ujar Redza Yeop.

"Teringat ahli keluarga yang memandu, kita tak tahu apa akan jadi atas jalan raya, harap mangsa dipermudahkan segala urusan," jelas Mursyid Rashid.

"Kemek total depan kereta itu, harap-harap syarikat lori itu bertanggungjawab, sejak kebelakangan ini banyak kes macam ini," kata Ray Miee.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan keadaan mangsa sama ada mengalami kecederaan parah atau tidak.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini.

Media pernah melaporkan kejadian seorang lelaki berdepan saat cemas apabila kereta dipandunya tiba-tiba dihentam sebiji tayar lori di Lebuh Raya Elite awal bulan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram