DEBAT secara berdepan antara calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dianggap sebagai peluang terbaik kepada pengundi membuat keputusan siapa yang bakal mereka pilih sebagai Ahli Parlimen.
Perkara itu dinyatakan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad yang menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan saingannya bagi merebut kerusi itu.
"Ini (debat) cara terbaik untuk pengundi membuat keputusan tepat kerana mereka akan mendengar pandangan daripada calon.
"Saya terima jemputan debat itu, malangnya Datuk Seri Johari Abdul Ghani (calon Barisan Nasional) macam tak berminat.
"Saya akan terus berharap Johari dan seorang lagi calon, Dr Rosni Adam (Perikatan Nasional) bersetuju. Saya juga akan usahakan untuk mereka hadir sebab nak jadi wakil rakyat, pengundi perlu tahu pandangan mereka," katanya.
Khalid Samad (kanan) menerima surat jemputan debat daripada wakil penganjur pada 11 November lalu. — Twitter
Khalid berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasminya pada Ahad.
Menurut bekas Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal itu, tajuk debat tersebut berkaitan dengan masa depan generasi muda dan pembangunan semula Kampung Baru.
"Kalau betul-betul ikhlas nak wakili pengundi di sini, rakyat perlu mendengar pandangan mereka. Saya akan hadir debat itu namun untuk Johari dan Rosni, terserah kepada mereka," katanya.
Johari (kanan) tidak mengesahkan sama ada akan hadir debat ketika jemputan dihantar penganjur. — Twitter
Untuk rekod, debat yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 8.30 malam Ahad adalah anjuran Rakan Siswa, Arus Anak Muda dan Undi 18.
Difahamkan, jemputan untuk debat bertajuk Debat Wilayah – Kelangsungan Hidup Anak Muda: Apa Masa Depan Mereka itu sudah dihantar secara berdepan kepada calon Parlimen Titiwangsa beberapa hari lalu.
Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Khalid (PH), Johari (BN), Rosni (PN) dan Khairuddin Abu Hassan (Gerakan Tanah Air). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram