SELEPAS enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka di Melaka pada Ahad, bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia.
Kejadian menyayat hati yang menimpa Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan di Pantai Puteri, Tanjung Kling itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi melalui hantaran yang dibuat di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.
“Pada pukul 1.30 pagi Kak Ina mendapat panggilan daripada pihak Hospital Melaka bahawa adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada Sang Penciptanya.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” tulisnya.
Sebelum ini media melaporkan kegembiraan, mangsa sedang didukung ibunya manakala dua lagi anaknya dan suami sedang mandi-manda di pantai berkenaan.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan seorang bayi lelaki dan ibunya dihempap pokok yang tumbang.
Menurutnya, bayi tersebut didapati mengalami kesesakan nafas akibat tersembam ke pasir dan dikejarkan ke hospital selepas itu.
Sejurus sahaja kejadian berkenaan berlaku, Tuminah ataupun lebih mesra disapa Kak Ina itu bergegas ke tempat kejadian dan menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu untuk mengambil tindakan.
Sementara itu, isu pokok tumbang di sekitar kawasan Pantai Kundor itu sememangnya menjadi kerisauan penduduk dan di ruangan komen rata-ratanyanya berharap agar pihak MBMB serta Adun kawasan untuk segera mengambil tindakan sebelum kejadian meragut nyawa terjadi lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram