'KPM, mana hilang surat panduan tangani isu beg berat murid?'


  • Massa
  • Sabtu, 19 Feb 2022

MURID Sekolah Kebangsaan Jenis CinaYok Bin di kubu Melaka membawa beg berat ke sekolah. — The Star

SURAT berkaitan Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid yang dikeluarkan pada September 2018 telah hilang dari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Dr Anuar Ahmad.

Menerusi semakan Pakar Pendidik, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perkara tersebut seperti dimaklumkan oleh rakan-rakannya.

"Saya cuba semak. Betul. Jumpa 404 sahaja," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Sabtu.

Semakan Majoriti juga mendapati bahawa, pautan di laman web berkenaan tidak dapat dijumpai manakala pihak KPM juga masih tidak memberi sebarang respons ketika dihubungi.

Meskipun surat berkenaan tidak dijumpai, namun ia sempat disimpan oleh seorang pengguna Facebook dikenali Nurul Liyana menerusi perkongsiannya.

"Nasib baik ada back up. Boleh bantu KPM restored balik page tu nanti.. kena virus kot tu," katanya.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Aminuddin Adam ketika itu, ia menyatakan panduan bagi menangani isu beg berat murid di sekolah.

Surat itu antara lain memberi panduan kepada pihak pengurusan sekolah, termasuk menyusun semula jadual waktu supaya dapat disesuaikan antara tiga dan empat mata pelajaran dipelajari setiap hari serta mewujudkan sistem loker (sekiranya berkemampuan), untuk menyimpan buku atau barang lain yang tidak perlu dibawa pulang. Hanya buku yang diperlukan untuk kerja rumah sahaja dibawa balik.

Selain itu, surat itu turut memberi panduan kepada guru supaya memberi arahan yang jelas kepada murid tentang buku atau bahan yang perlu dibawa ke kelas pada hari berikutnya, selain menasihatkan mereka supaya membawa buku dan barang lain mengikut jadual waktu dan keperluan pembelajaran.

Panduan kepada murid pula adalah dengan menasihati dan membimbing mereka agar sentiasa memeriksa dan menyusun buku serta barang keperluan pembelajaran lain dalam beg setiap hari.

Murid juga perlu dinasihatkan agar tidak membawa beg beroda disebabkan ia bersifat berat, malah penggunaannya boleh mendatangkan masalah kepada bahu.

Bukan itu sahaja, panduan itu turut menyarankan ibu bapa supaya memupuk anak-anak mereka tentang amalan memeriksa dan menyusun beg setiap hari, serta membimbing mereka menurunkan beg dari bahu atau meletakkan beg ketika menurun kenderaan semasa perhimpunan dan sebagainya.

Semakan Majoriti setakat pukul 5 petang Sabtu (19 Februari) mendapati, laman web itu masih menunjukkan masalah sama.

Majoriti juga cuba mendapatkan komen pihak KPM untuk mengulas masalah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram