Demi hobi hidup sihat, Azrel Ismail sudah 4 tahun ke gim seawal pukul 4 pagi


  • Hobi
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Sasaran, disiplin dan semangat merupakan perkara yang perlu ada bagi menjadikan aktiviti senaman sebagai rutin harian.

LANGKAH pertama sering menjadi satu perkara yang sukar dilakukan terutamanya untuk membiasakan diri melalukan perkara baharu.

Disebabkan itu semangat dan disiplin sangat diperlukan bagi memastikan impian berjaya direalisasikan sekali gus berjaya menewaskan gelodak rasa malas yang menawan diri.

Perasaan sama turut menyelubungi aktor Azrel Ismail saat dia mula nekad untuk menjadikan aktiviti bersenam di gimnasium sebagai rutin harian.

Mengakui perkara itu bukan satu hal mudah sementelah dirinya sendiri sibuk dengan rutin kerja yang padat dan masa tidak menentu.

“Memang tidak menafikan pada awalnya perkara itu bukan satu hal mudah memandangkan tidak biasa dengan rutin sebegitu.

“Namun, saya nekad untuk melakukan anjakan dalam hidup dan menginginkan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Bukan sekadar melakukan aktiviti fizikal, tetapi turut mengamalkan diet pemakanan seimbang,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2022 (6)

Azrel akan meluangkan masa sekitar dua jam sebanyak tujuh kali seminggu bersenam di gim.

Cabar diri

Mengulas lanjut, Azrel, 38, memberitahu, tahun pertama dia cuba untuk membiasakan diri untuk aktif ke gimnasium dan mengakui berasa berat hati hingga hampir putus asa.

Masakan tidak, rutinnya yang sebelum ini bangun pada pukul 6 pagi perlu diawalkan sekitar 3 atau 4 pagi.

“Paling penting jangan mudah berputus asa dengan cabaran. Jika kita rasa perkara itu sukar, cuba untuk cari jalan penyelesaian agar dapat mengatasinya dengan baik.

“Disebabkan itu keazaman kuat perlu agar tidak mudah tersasar daripada tujuan. Didik diri dengan penuh disiplin dan sebaiknya meletakkan sasaran agar kita tetap di landasan,” terangnya mengenai rutin yang sudah memasuki tahun keempat itu.

Terus rancak bercerita, Azrel mengakui jadual kerja yang tidak menentu membuatkan dia sukar untuk menetapkan waktu untuk diri sendiri.

Disebabkan itu dia memilih untuk ke gimnasium sekitar pukul 4 pagi dan sekurang-kurangnya meluangkan masa sekitar dua jam untuk bersenam.

Setelah sekian lama menjalani kehidupan begitu, dia sudah mula terbiasa dan tiada lagi alasan itu tidak melakukannya.

“Dahulu sukar, tetapi sekarang ini lain pula kerana jika seharian tidak melakukan senaman, saya berasa seperti ada yang kurang dan tidak sedap badan.

“Saya memilih untuk ke pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam di Taman Tun Dr ismail (TTDI) memandangkan lokasinya berhampiran dengan rumah.

“Lebih mudah saya akan mandi dan solat Subuh saja di sana. Pulang sahaja saya akan sediakan sarapan. Sekiranya ada masa terluang saya akan tidur sekejap atau power nap sekitar 10 hingga 15 minit,” ujarnya.

Gaya hidup sihat

majoriti2022 (10)

Melakukan aktiviti senaman bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi membantunya untuk mengekalkan bentuk tubuh badan yang ideal.

Setelah sekian lama membiasakan diri menjalani kehidupan begitu, Azrel mengatakan dirinya mampu untuk bangun dengan sendiri secara ‘automatik’ tanpa perlu menggenakan jam penggera.

Biarpun alat tersebut masih dihidupkan, tetapi dia sering akan terjaga sendiri sekitar pukul 3 pagi. Kemudian dia akan mengambil minuman vitamin C sebelum bersiap ke gimnasium.

Baginya setiap hari akan menawarkan pengalaman berbeza dan perlu dihargai biarpun kadangkala rutinnya serupa.

“Keazaman tinggi dan perasaan menghargai hari-hari yang dilalui itu dengan penuh semangat. Tidak dinafikan setiap daripada kita mempunyai pekerjaan dan hal yang perlu diuruskan, tetapi apa salahnya lakukan kebaikan untuk diri sendiri.

“Penjagaan kesihatan amat penting kerana melibatkan kehidupan di hari tua. Bagi mereka yang menjadi aktiviti senaman dan fizikal, secara tidak langsng akan mengamalkan pemakanan seimbang.

“Tentu sahaja kerana apabila sudah penat meluangkan masa di gimnasium, kita akan mengamalkan diet yang betul dan sihat,” katanya.

Nasihat

majoriti2022 (9)

Disiplin, semangat dan sasaran antara perkara yang perlu untuk menjadikan aktiviti senaman atau fizikal sebagai rutin harian.

Sebelum mengakhiri perbualan, Azrel sempat menitip pesan tentang bagaimana untuk mengasuh diri agar terbiasa melakukan senaman atau aktiviti fizikal sebagai rutin mahupun hobi.

Awalnya memang sukar tetapi cuba lakukan dengan langkah pertama. Setelah percubaan pertama berjaya, praktis perlahan-lahan dan tetapkan waktu yang sama agar perkara itu menjadi kebiasaan.

“Lama-kelamaan perkara itu akan menjadi rutin sehingga sukar untuk diketepikan. Cuba beri masa sekitar sebulan bagi menentukan sama ada kita mampu melakukannya atau tidak.

“Kemudian lanjutkan kepada bulan seterusnya sehinggalah kita tiada alasan tidak melakukannya. Sepanjang melakukan aktiviti ini pada sebelah pagi, saya dapat merasakan perubahan kepada diri.

“Bukan sahaja menjaga bentuk badan dan melatih diri dengan pemakanan sihat, tetapi berasa lebih bertenaga dan bersemangat untuk melakukan kerja,” jelasnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram