YB miang, gila kuasa antara watak ahli politik warnai filem tempatan


  • Hiburan
  • Khamis, 10 Nov 2022

Tiga pelakon yang pernah melakonkan watak ahli politik (dari kiri) Rusdi Ramli, Kamarulzaman Taib dan Zizan Nin.

MELAKONKAN watak sebagai ahli politik bukan baru dalam negara dan beberapa pelakon sebelum ini sudah menjayakannya sehingga mendapat pengiktirafan.

Begitu juga dengan filem yang menyentuh bab politik sama ada secara serius mahupun sinis. Mahu atau tidak, seseorang perlu melakonkan watak sebagai ahli politik.

Berikut, Majoriti senaraikan lima pelakon yang pernah membawakan watak ahli politik.

Datuk Jamali Shadat & Hamid Gurkha

Dua pelakon legenda yang membawakan watak ahli politik dalam filem Aku Yang Berhormat ialah Hamid Gurkha dan Datuk Jamali Shadat.

Filem bergenre komedi dan sarat dengan nasihat ini menampilkan Jamali sebagai YB yang salah guna kuasa dan beragak.

Manakala Hamid pula menjadi YB yang amanah dan mesra rakyat. Dia juga melarang orang kampung memanggilnya YB (Yang berhormat) sebaliknya menyarankan penggunaan Yang Berkhidmat.

Filem ini ditayangkan pada 1983 arahan Raja Ismail ini cukup sarat dengan nasihat dan menggambarkan fenomena politik tempatan ketika itu.

Zaidi Omar

Filem Ringgit Kasorrga yang disiarkan pada 1995 ini juga menggunakan watak ahli politik sebagai penggerak plot penceritaan.

Pelakon, Zaidi Omar melakonkan watak Datuk Shah, seorang wakil rakyat di kawasan bernama Riuh yang korup dan gila seks.

Malah, Datuk Shah juga merupakan ahli politik yang terlibat dengan kes pembunuhan seorang wanita yang mempunyai hubungan sulit dengannya.

Selain Zaidi Omar, turut berlakon dalam filem arahan dan tulisan Shuhaimi Baba ini ialah Deanna Yusoff, Tiara Jacquelina dan Hans Isaac.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 10.36.23 PM

Khir Rahman (kiri) memegang watak sebagai Presiden dalam filem Abang Long Fadil 3.

Khir Rahman

Khir Rahman memegang watak sebagai Presiden sebuah negara yang dinamakan Republik Nusantara dalam filem Abang Long Fadil 3.

Menerusi filem itu, Khir perlu mempertahankan jawatannya dariapda kumpulan samseng terbesar, S.S.0 yang ingin menakluki Repulik Nusantara.

Filem karya pengarah muda, Syafiq Yusof ini ditayangkan pada September lalu dan berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM25 juta.

Selain Khir, turut berlakon ialah Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin dan Datuk AC Mizal.

Rusdi Ramli & Zizan Nin

Filem Tanda Putera merupakan sebuah filem arahan Shuhaimi Baba yang mengisahkan persahabatan antara bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan timbalannya ketika itu, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Menerusi filem ini, Rusdi Ramli melakonkan watak Abdul Razak manakala Zizan Nin pula sebagai Ismail.

Kedua-duanya membawa watak-watak masing dengan baik sehingga Rusdi menang Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-26 manakala Zizan pula menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Anugerah Skrin 2014).

Selain itu, filem ini turut menampilkan beberapa lagi watak ahli politik antaranya, Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 10.37.23 PM

Zaefrul (tiga dari kiri) memegang watak Onn Jaafar dalam filem 1957: Hati Malaya.

Zaefrul Nordin

Pelakon yang sudah lama menyepi, Zaefrul Nordin juga pernah membawa watak sebagai ahli politik dalam filem 1957: Hati Malaya.

Filem arahan Shuhaimi Baba ini ditayangkan pada 2007 dan berkisarkan mengenai perjuangan politik sewaktu di awal kemerdekaan negara.

Menerusi filem ini, Zaefrul memegang watak Datuk Onn Jaafar yang juga pengasas Umno.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani dan Bront Palarae. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram