[VIDEO] Disangka 'macai' politik, warga asing sebenarnya alih bendera parti sebab jejas operasi kedai


  • Tular
  • Khamis, 10 Nov 2022

Tangkap layar dua lelaki warga asing didakwa mencabut bendera parti politik berlambang dacing di Kinta, Perak.

TULAR di TikTok baru-baru ini apabila sebuah video memaparkan dua lelaki warga asing didakwa sengaja menggantikan bendera parti politik di Kinta, Perak pada Selasa.

Namun, hasil pemeriksaan lanjut Majoriti mendapati bahawa kejadian itu bukanlah seperti yang dipaparkan dalam rakaman tersebut.

Difahamkan, kedua-dua lelaki tersebut hanya mengalihkan kedudukan bendera berkenaan selepas himpunan bendera itu dikatakan menghalang pandangan sebuah kedai di situ.

Diarahkan oleh pihak majikan, pemuda berkenaan merupakan pekerja di sebuah premis niaga sekitar kawasan tersebut.

Berikut merupakan sambungan video yang tular di laman TikTok beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, pengurus kedai terbabit, Eric Wong, 48, berkata, insiden itu bukanlah seperti yang dipaparkan dalam video tersebut.

"Kedua-dua lelaki itu merupakan pekerja saya dan saya mengarahkan mereka untuk mengalihkan kedudukan bendera itu ke bawah sedikit kerana telah menghalang pandangan kedai kami.

"Bendera yang dipasang di situ telah menyebabkan orang awam sukar untuk mencari kedai kami, maka ia akan mendatangkan kerugian sekiranya dibiar berterusan.

"Kami tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan bendera di situ memang sudah tergantung lama sebelum pekerja saya mengalihkannya," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Eric turut meluahkan kerisauan terhadap keselamatan pekerjanya kerana isu berkenaan semakin tular di laman media.

"Identiti pekerja saya telah terbongkar dalam video tersebut dan saya risau jika ada sebarang kejadian buruk menimpa mereka nanti.

"Selain itu, ia juga bagi memastikan agar kedai kami tidak diganggu ataupun terlibat dalam mana-mana pihak parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti," tambahnya.

Namun, pemilik video berkenaan masih belum dikenal pasti dan belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh premis berkenaan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram