KEMERIAHAN kempen Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15) mula terasa apabila bendera parti-parti politik sudah mula berkibar di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Tanpa mengira siang atau malam, penyokong parti-parti politik bertungkus-lumus membuat persiapan memasang bendera di mana sahaja.
Pemasangan bendera parti ini boleh dianggap sebagai tradisi setiap kali menjelang pilihan raya kerana ia dapat menyemarakkan lagi semangat penyokong.
Namun begitu, baru-baru ini, pemasangan bendera parti politik di beberapa kawasan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak sehingga ada yang menyebabkan perbalahan dalam kalangan penyokong.
Melalui satu video tular yang dimuat naik di halaman TikTok jebatderhaka141 memaparkan seorang lelaki mematahkan bendera parti berlambang dacing yang sudah siap dipasang di tepi jalan.
"Sikap penyokong parti lawan. Penat mereka yang pasang itu tak hilang lagi. Tiada penyalahan undang-undang yang dibuat oleh petugas.
"Nilaikanlah sikap dan budaya samseng mereka," tulisnya.
Kejadian itu berlaku di Taman Senai Utama, Senai, Johor pada tengah malam Isnin.
Dalam video tersebut, kelihatan individu berbaju merah berkenaan tidak berpuas hati dengan petugas Barisan Nasional (BN) yang memacak dan menggantung bendera di kawasan tersebut.
"Apa yang kamu buat," katanya.
Lelaki itu kemudiannya dilihat terus mematahkan beberapa batang kayu yang digunakan untuk memasang bendera politik berkenaan.
Video berdurasi 30 saat yang dimuat naik sejak awal pagi Selasa itu kini sudah mendapat lebih daripada 45,000 jumlah tontonan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga net kurang senang dengan tindakan lelaki tersebut.
"Biar mereka buat, jangan kita sama macam mereka," kata Fify Obey.
Hamsul Mall pula berkata, individu tersebut sepatutnya tidak boleh bertindak sedemikian.
"Tak boleh buat macam itu, walaupun aku bukan 'macai' BN tetapi perbuatan sebegitu tidak boleh dicontohi mana-mana parti," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan penahanan suspek pada pukul pukul 12.15 tengah malam Selasa.
Katanya, suspek yang berusia 58 tahun ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.
“Polis kemudiannya telah menahan suspek yang berusia 58 tahun tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beng Yeow turut memberitahu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram