KHABAR angin campur tangan politik dikatakan sebagai penyebab kontrak penyerang import, Lucas Silva tidak akan disambung oleh pihak pengurusan Penang FC, dakwa penyokong.
Mereka mendakwa, tindakan ahli politik berkenaan dianggap duri dalam daging dalam kalangan penyokong pasukan kendalian Manzoor Azwira kerana mengeruhkan lagi keadaan yang mana kelab itu akan kehilangan seorang lagi pemain berkaliber.
Kehilangan Lucas pastinya melukakan lagi hati penyokong Harimau Kumbang selepas pasukan itu mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada saingan Liga Malaysia musim ini.
Lebih malang lagi, skuad Harimau Kumbang hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 22 perlawanan yang sekali gus meletakkan pasukan tersebut di tangga terakhir Liga Super 2022.
Perkara itu turut diluahkan di media sosial oleh penyokong Penang FC sendiri di halaman Facebook Penang Brotherhood.
Status yang dimuat naik itu mendakwa ahli politik tersebut seakan-akan tidak berkenan dengan bintang import itu.
"Dengar sudah ada team dari Borneo dan Pantai Timur offer, dia (Lucas) pun kata belum kenyang nasi kandar lagi. Tapi betul ke YB tak nak? Masa salam dia tak cium tangan YB ke?," tulisnya
Antara aksi Lucas Silva dalam perlawanan pertamanya bersama skuad Harimau Kumbang. — Gambar Facebook/PenangFC
Luahan itu turut disokong seorang lagi peminat tegar Harimau Kumbang, Ateh Asraf yang mengatakan tindakan ahli politik berkenaan akan memburukkan lagi keadaan pasukan tersebut.
"Apa kena mengena dengan YB ini dengan bola Penang pulak? Memang YB tetapi sampai bab ini haru, jahanam pasukan. #PolitikOut," katanya.
Bagi Mohd Azmil pula, ahli politik tidak sepatutnya campur tangan dalam arena bola sepak negeri tersebut.
"YB faham pasal bola atau tidak atau politik saja tahu? Player bagus tak nak sign, nak macam mana lagi?" katanya.
Penyokong Penang FC meletakkan kepercayaan besar di bahu Lucas Silva musim ini. — Gambar Facebook/Penang FC
Seorang lagi penyokong, Mohd Fairuz Ramli meluahkan rasa kecewa dengan tindakan ahli politik berkenaan kerana sejak dahulu lagi ramai pemain Penang FC prolifik disambar pasukan lain.
"Pasukan kita mereka buat perancangan cacamarba. Pemain bagus tak kekal, yang tak bagus masih dalam pasukan. Lain mereka ambil, selepas itu sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) tinggi.
"Nanti, 'ubi muda' SUKMA yang bagus pun akan kena rembat dengan pasukan lain," katanya.
Untuk rekod, Lucas dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia Jun lalu dalam usaha pasukan menajamkan lagi jentera serangan mereka.
Sepanjang bersama Penang FC, pemain berusia 32 tahun itu sudah menyumbang 11 gol dalam 15 perlawanan sepanjang Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram