Jangan kelirukan pengundi, Ismail Sabri kembali PM jika BN menang semula — Mahdzir Khalid


  • Politik
  • Ahad, 06 Nov 2022

Mahdzir (tengah) pada hari penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap pada Sabtu. Beliau akan bertanding di Parlimen Padang Terap pada PRU15. — Bernama

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Penegasan itu dibuat Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan mengatakan bahawa pembangkang tidak perlu mengelirukan pengundi dengan memainkan isu pelantikan tersebut.

Beliau turut menegaskan, Umno sudah membuat ketetapan awal yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri.

“Dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan bahawa parti setuju sebulat suara untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri sekiranya BN menang pada PRU15.

"Saya fikir keputusan itu telah dibawa pula menjadi sebahagian daripada usul-usul dalam persidangan Umno bahagian-bahagian di seluruh negara," katanya.

1795496

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 Koperasi Pekerja-Pekerja Gula Padang Terap Berhad di Padang Terap, Kedah pada Ahad.

Jelas Mahdzir, keputusan itu juga disokong 156 Bahagian Umno seluruh negara yang bermesyuarat sebelum ini, dalam menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.

Mahdzir berkata, pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mencampuri urusan pelantikan Perdana Menteri dan tidak mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.

“Pembangkang terutamanya PH yang selalu sebut perkara ini (pelantikan Perdana Menteri) tidak perlu mengadu domba urusan BN, jangan bagi keliru pengundi kerana BN sudah ada keputusan.

"Keputusannya adalah seperti yang saya sebutkan tadi (bahawa Ismail Sabri dilantik semula), Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno juga jelaskan dan bersetuju Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, pembangkang dalam kempennya ketika ini, mendakwa BN bakal melantik Ahmad Zahid sekiranya gabungan itu berjaya menang pada PRU15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram