‘Kita jaga kita’, warganet ajak pengguna LRT kongsi kereta ke tempat kerja


  • Massa
  • Khamis, 10 Nov 2022

Stesen LRT Kelana Jaya hingga Ampang Park ditutup selepas laluan itu mengalami gangguan teknikal. — Bernama

SIKAP baik hati dan saling membantu sesama insan, lebih-lebih lagi ketika berlaku kecemasan, sememangnya sebati dalam diri setiap masyarakat di Malaysia.

Tidak kira bangsa atau agama, sikap murni itu dapat dilihat dengan jelas ketika perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya di ibu negara yang tergendala bermula sejak Selasa lalu. Ramai simpati serta ingin membantu pengguna LRT yang terkandas dan tidak mempunyai kenderaan persendirian ke tempat kerja atau destinasi yang dituju.

Tinjauan Majoriti di Twitter mendapati ada yang menawarkan kenderaan masing-masing untuk menumpangkan pengguna yang memerlukan pengangkutan untuk ke tempat kerja.

photo6296168086386096614

Tangkap layar warga maya tawar kongsi kereta kepada pengguna LRT tergendala.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama Intan, sedia menumpangkan pengguna LRT yang terkandas.

"Saya pandu dari Glenmarie (LRT Glenmarie) ke Setiawangsa (LRT Setiawangsa), keluar pejabat pukul 6.30 petang. Kalau ada sesiapa yang nak tumpang boleh 'DM' saya.

"Kalau banyak permintaan dari KL Sentral ke Setiawangsa, saya akan ambil dari sana," katanya.

Pengguna dengan nama Ammar Azman pula mempelawa sesiapa sahaja penumpang LRT yang memerlukan pengankutan di sekitar Lembah Subang ke Amcorp Mall, Petaling Jaya.

"Ada yang ingin tumpang? Dari D'aman Crimson (sebelah LRT Lembah Subang) ke Amcorp Mall (berhadapan LRT Taman Jaya).

"Ada tiga kekosongan tempat duduk. Aku pergi kerja setiap hari pukul 8 pagi dan balik pukul 5.30 petang.

"#RakyatJagaRakyat, #CarPool, #LrtDown," tulisnya.

photo6296168086386096609

Ramai simpati serta ingin membantu pengguna LRT yang terkandas.

Sementara itu, pengguna dengan nama Sarah Skywall turut sedia menumpangkan pengguna LRT di stesen Gombak ke KLCC manakala omelmeloo pula menawarkan diri untuk menumpangkan pengguna yang pulang dari KLCC ke Sungai Besi atau Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan.

Sebelum ini, Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan operasi pengangkutan awam tersebut dipercayai berpunca daripada gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren yang menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

Masalah itu sedang giat diatasi Rapid KL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram