Selain pintar, ini 3 sebab Fathin Amelina mampu cabar Shahidan Kassim di Arau


  • Politik
  • Rabu, 09 Nov 2022

Fathin (kiri) bakal melakukan persaingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Arau. — Bernama

PELAKSANAAN Undi 18 bermula tahun ini semestinya akan memeriahkan lagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Apatah lagi, Undi 18 akan memberi peluang kepada golongan muda seawal 18 tahun untuk keluar mengundi kali pertama.

Di samping itu, setiap parti tidak terlepas untuk mengemukakan calon muda dan baharu bagi menarik undi golongan Undi 18.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Antara nama yang disebut-sebut adalah calon PKR, Fathin Amelina Fazlie yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Arau di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).

Gadis itu bakal melakukan pertembungan dengan penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN) dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN).

Meskipun baru berusia 28 tahun, kelebihan yang ada pada Fathin tidak boleh dipandang rendah pengundi kawasan tersebut, berikutan tarikh 19 November ini bakal menentukan sama ada Arau diterajui oleh pemimpin sama atau bertukar tangan.

Berikut merupakan kelebihan yang ada pada Fathin Amelina menggugat reputasi besar dimiliki Shahidan di Arau:

1) Pintar

file7ncchi20auuncugrmqf

Fathin

Berdasarkan laman calonkeadilan.org, Fathin sedang mengikut pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sosial dan Perilaku.

Dia merupakan pemegang ijazah sarjana dalam bidang ekonomi pada 2018, dan ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dengan kepujian pada 2014.

Dengan latar belakang pendidikan yang tinggi, sudah tentu Fathin bakal menjadi pemimpin yang bijak buat rakyat.

Apatah lagi, jurusan ekonomi yang dipelajarinya secara tidak langsung mampu mengubah sektor tersebut di negara ini.

2) Penglibatan politik

Screenshot 2022-11-08 205744

PKR memberi kepercayaan kepada Fathin dengan menaikkan pangkatnya dalam tempoh dua tahun. — PKR

Sejak tahun 2020, Fathin dilantik sebagai Timbalan Pengarah Komunikasi Cabang Padang Besar bagi PKR.

Bermula tahun ini, dia dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Komunikasi bagi kawasan sama.

Kenaikan pangkat dalam tempoh dua tahun merupakan bukti kepercayaan PKR atas kepimpinannya di dalam parti.

Sebagai parti yang sudah lama bertapak di negara ini, PKR sudah tentu tidak meletakkan calon sembarangan di mana-mana kerusi Parlimen.

3) Tak mudah melatah

Selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, kriteria pemimpin yang bagus adalah mereka yang bijak mengawal emosi.

Individu yang berusia muda sering kali dikaitkan dengan panas baran kerana kawalan emosi adakalanya masih belum matang.

Meskipun sering kali diusik sebagai calon menantu dan calon isteri oleh penduduk tempatan tatkala keluar berkempen, Fathin tidak pernah mengambil hati dengan usikan dan gurauan 'nakal' masyarakat di Parlimen Arau.

Memetik laporan media tempatan, dia sebaliknya tidak mempunyai masalah dengan gurauan itu kerana baginya ia merupakan kebiasaan yang berlaku pada calon wanita yang akan bertanding dalam pilihan raya umum.

4) Berani

file7nhjvvk2ixiuehg8osd

Fathin (dua dari kiri) berani bertanding pada PRU15 meskipun berdepan dengan calon lebih berpengalaman.

Meskipun dianggap masih mentah dalam selok-belok dunia politik, keberanian Fathin untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen patut dipuji.

Tambahan pula, dia akan merebut kawasan Parlimen Arau bersama individu yang sudah mempunyai nama besar, iaitu Shahidan Kassim.

Sehingga kini, Shahidan sukar digoyah kedudukannya sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

5) Jujur

Setakat ini, Fathin boleh dianggap jujur dari segi pengisytiharan harta.

Pengisytiharan yang disiarkan di laman calonkeadilan.org itu menyaksikan akuan wanita itu tentang harta yang dimiliki sehingga kini.

Meskipun belum menang pilihan raya, pengakuan itu membuktikan bahawa calon itu tidak melakukan sebarang aktiviti korupsi, sekali gus mampu mendapat kepercayaan rakyat pada masa akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram