Manifesto BN, PN, PH tawar 3 fokus utama


  • Politik
  • Selasa, 08 Nov 2022

Tiga manifesto sudah dihidang gabungan politik untuk memikat pengundi pada PRU15.

MANIFESTO merupakan elemen penting dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bagi sesebuah gabungan parti untuk menarik minat pengundi.

Ketika ini, tiga buah gabungan parti politik paling besar dan kuat dalam negara iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah selesai membentangkan manifesto masing-masing.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.31.00 PM

Kini, terpulang kepada pengundi untuk menilai manifesto yang dijanjikan parti politik untuk dilaksanakan jika berjaya membentuk kerajaan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga fokus utama yang dijanjikan gabungan parti untuk PRU15 kali ini:

Barisan Nasional

Manifesto BN nampak lebih menyeluruh dengan bantuan tidak tertumpu kepada pendidikan sahaja, tetapi juga untuk golongan sasar dalam kumpulan B40, M40 dan T20.

Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) seperti yang dinamakan parti tersebut nampak secara fokus mahu meningkatkan taraf hidup penduduk serta bantuan yang akan menjadikan tiada kemiskinan dalam negara.

Selain itu, BN juga cuba membawa pendidikan ke satu tahap baru dengan memperkasakan bahasa pengaturcara (coding), pemikiran kreatif dan pembelajaran bahasa komunikasi asas etnik lain di sekolah.

Dalam tempoh 18 bulan juga, BN berjanji memperkenalkan Jaringan Internet 5G yang akan membawa dimensi baharu sistem pembelaran tanpa buku teks serta pemberian komputer riba percuma kepada golongan B40.

Pakatan Harapan

Selain bantuan menyeluruh kepada semua golongan, PH menampilkan kelainan dengan menjadi gabungan yang begitu tekad mahu membebaskan negara dari belenggu rasuah.

Selain pelantikan KP SPRM dibuat menerusi jawatankuasa khas sama seperti diusulkan BN, PH turut meminta semua Menteri, Ahli Parlimen, Penjawat Awam Kanan, Pengerusi GLC serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat untuk melakukan pengisytiharan aset.

Selain itu, PH juga mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada maksimum 10 tahun sahaja.

PH juga akan mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi memastikan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan apabila tamat penggal bagi mengurangkan ketidaktentuan politik.

Perikatan Nasional

Secara keseluruhan, manifesto PN nampak sama sahaja seperti BN dan PH tetapi pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai janji yang cukup menarik.

PN akan mempertimbangkan semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar seperti yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Tiga inisiatif i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar diperkenalkan sewaktu kerajaan pimpinan Muhyiddin dan banyak membantu rakyat yang kehilangan punca pendapatan.

Pastinya kebenaran untuk membuat satu lagi pengeluaran menjadi sebahagian daripada daya tarikan yang ditawarkan PN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram