PILIHAN Raya Umum ke 15 (PRU15) di Parlimen Batu di ibu negara pada tahun ini menyaksikan pertembungan 10 penjuru yang juga paling ramai dicatatkan.
Penyandangnya yang juga calon PKR, P. Prabakaran bukan sahaja akan menentang muka baharu, tetapi juga bekas pemimpin selama dua penggal di parlimen itu, Tian Chua juga akan turut bertanding.
Selain Tian Chua, pertembungan kali ini menyaksikan beberapa muka muda baharu membuat penampilan antaranya personaliti media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali dengan nama Cleopatra (Bebas); peguam, Siti Kasim (Bebas) serta peguam, Wan Azliana Wan Adnan dari Pejuang.
Beberapa nama lain yang turut mencuba nasib kali ini termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (PN), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (PRM).
Namun, kehadiran sehingga 10 orang calon ini tidak akan membawa erti kepada penduduk jika tiada yang betul-betul mahu menyelesaikan masalah rakyat.
Khairol Faddil bersama beberapa penduduk di Parlimen Batu.
Itu yang disuarakan Ketua Blok 29, Flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur, Khairol Faddil Sulaiman yang sudah tinggal di Parlimen Batu sejak 1984.
"Apa yang saya nampak, ramai calon yang bertanding dalam PRU15 kali ini sekadar hendak memecahkan undi sahaja.
"Sedangkan apa yang penting sebenarnya ialah isu rakyat. Sebenarnya kami tidak perlukan sumbangan, tapi kami mahu calon yang boleh bantu selesaikan masalah," katanya.
Menurut Khairul, masalah di bloknya sendiri masih belum diselesaikan dan tidak mendapat tumpuan dari pihak berkuasa.
Jelasnya, penduduk mahukan seorang 'YB' yang sanggup turun untuk melihat masalah rakyat dan bukannya rakyat yang perlu ke pejabat mereka.
"Kalau nak jadi YB, kena turun lihat rakyat dan masuk ke lorong-lorong tikus yang ada di Parlimen Batu.
"Bukan sekadar memerhati dan buat tinjauan dalam kenderaan sahaja. Begitu juga dengan aduan yang kita beri kepada mereka.
"Segala kertas aduan itu adalah untuk mereka bawa kepada pihak berkuasa dan bukan sekadar terima tapi tidak membuat apa-apa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram