BN mahu PADU jadi realiti, sekolah tanpa buku, top up pendapatan rakyat antara 99 tawaran manifesto


  • Politik
  • Isnin, 07 Nov 2022

BN memperkenalkan PADU sebagai manifesto untuk PRU15.

ISU pendidikan menjadi elemen yang paling banyak disentuh dalam manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) adalah tawaran untuk rakyat bagi PRU15.

"PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua," katanya membentangkan Manifesto BN di akaun rasmi FB BN pada Isnin.

Berikut adalah lima poin dalam 99 perkara yang dibawakan dalam manifesto BN untuk PRU15 kali ini di bawah PADU.

1) Selesai kos sara hidup tinggi

Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas untuk memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

Jelasnya, skim ini juga akan akan memberi tambahan pendapatan bulanan kepada semua isi rumah di bawah RM2,208 sebulan.

"Selain itu, kelompok M40 yang termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000 pula akan diberi dua peratus potongan cukai pendapatan," katanya.

2) Pendidikan percuma dan warga emas

BN akan memberi sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga akan memperkenakan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks iaitu pembelajaran dengan menggunakan laptop atau komputer riba.

"Untuk itu, dua inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

"BN juga akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40.

"Selain itu, BN juga akan menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh," katanya.

Tambahnya, BN juga akan menggubal Akta Penjagaan Warga Emas dan memantapkan fungsi serta keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan OU dengan peruntukan RM105 juta untuk lima tahun.

3) Keterangkuman dan pengiktrafan kerencaman

Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini diajar di semua sekolah, BN mahu semua sekolah turut mengajar bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa-bahasa etnik yang lain.

Ahmad Zahid berkata, BN juga mahu menjadikan sekolah sebagai tempat kita memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran baharu seperti pengekodan atau coding dan kreativiti.

"Selain itu, insentif cukai ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.

"BN juga mahu isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layan kerana perbezaan gender dihapuskan sama sekali dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal Anti Gangguan Seksual," katanya.

Tambahnya, BN juga bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

4) Amalan politik, permit import, hutan

BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

"BN akan memastikan pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

"Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

"BN juga menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

"BN juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri," kata Ahmad Zahid.

5) Bentuk kerajaan kuat dan stabil

Menurut Ahmad Zahid, kejayaan 99 perkara dalam PADU bergantung kepada kerajaan dengan pasukan terbaik.

"Bersandarkan kesedaran ini, insyaAllah PADU akan didukung dan diusahakan dengan mengumpul bakat-bakat terbaik dalam kalangan calon yang terpilih.

"BN akan membentuk pasukan yang mempunyai ilmu, pengalaman dan berwibawa yang diperlukan dalam menjadikan PADU satu realiti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram