BERBANDING dengan wanita muda yang terlibat politik kerana mewarisi ahli keluarga yang lain, calon DAP, lain pula ceritanya dengan Young Syefura Othman.
Dikenali dengan nama Rara, wanita berusia 33 tahun ini bergerak dari bawah bersama partinya sebelum diberi kepercayaan untuk bertanding dalam PRU15.
Bertanding di Parlimen Bentong, Pahang, Rara akan menentang penyandang kawasan itu, Wong Tack yang kini bertanding sebagai calon Bebas.
Turut bertemu Rara ialah Mohd Khalil Abdul Hamid (Bebas), Liow Tiong Lai (Barisan Nasional) dan Datuk Roslan Hassan (Perikatan Nasional).
Berikut Majoriti senaraikan beberapa sebab mengapa Rara menjadi pencabar utama di Parlimen Bentong:
Rara bermula dengan DAP sejak 2018. — Facebook
'Beauty with brain'
Di awal penglibatan dalam dunia politik, Rara dikenali kerana kejelitaan yang dimiliknya berbanding kemampuan sebenarnya.
Rara merupakan lulusan Diploma Kejururawatan dan telah bekerja selama setahun sebagai jururawat peribadi.
Dia kemudian melebarkan kerjayanya dengan membuka klinik bekam dan akupuntur di Puncak Alam, Selangor bersama abangnya.
Kemenangan Rara di Dun Ketari sebelum ini sesuatu yang tidak dijangka.
Berpengalaman dalam politik, PRU
Walaupun berusia 33 tahun, pengalaman politik yang dimiliki Rara bukan baharu, apatah lagi dia sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP.
Pada PRU 2018, dia dipilih untuk mewakili DAP bagi kerusi Dun Ketari, Pahang dan menang tanpa dijangka.
Rara ketika itu menewaskan calon MCA, Lau Hoi Keong dan Roslan Md Esa (PAS) dengan jumlah undian sebanyak 9,873.
Pengalaman politik dan PRU yang dimiliki Rara sebelum ini membuatkan dia tidak kekok untuk mempromosikan dirinya sebagai calon Parlimen Bentong untuk PRU15.
Rara sudah membuktikan kemampuannya bergelar Adun Ketari. — Facebook
Miliki rekod cemerlang di Dun Ketari
Pemilihan Rara untuk Parlimen Bentong bukan dibuat secara sesuka hati, sebaliknya berdasarkan track record ketika menjadi Adun Ketari.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pencalonan pertama Young Syefura atau Rara di peringkat parlimen adalah atas dasar kepercayaan yang diberikan DAP pusat setelah melihat rekod baik ketika beliau menjadi Adun Ketari.
"Keputusan itu bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi juga ada buat survey dan kita percaya beliau adalah winnable candidate di situ," kata Loke.
Malah, Rara juga dilihat menjadi calon pilihan dalam kalangan pengundi Melayu di Parlimen Bentong.
Dilabel pengkhianat Melayu tidak melemahkan semangat Rara untuk kekal dalam politik.
Jiwa kental
Menjadi wakil dalam DAP, semestinya api kebencian terhadap Rara cukup hangat disuarakan pengikut politik lawan.
Malah, ada 'musuh' politik yang melabel Rara sebagai pengkhianat Melayu kerana memilih DAP sebagai wadah perjuangan politik.
Namun, Rara tidak mudah melatah dan tidak mengendahkan sedikit pun kata-kata cercaan kepadanya.
Bagi wanita itu, apa yang penting ialah dia membuat kerjanya supaya orang dapat menilai bukan sekadar parti, tetapi kepada individu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram