[VIDEO] Tak puas hati kereta dilanggar, 2 lelaki bergusti tengah jalan


  • Tular
  • Selasa, 08 Nov 2022

Tangkap layar suspek yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan cuba bertindak agresif dengan menumbuk muka seorang lelaki di Ipoh pada petang Isnin.

DUA orang lelaki mencetuskan kekecohan di tengah-tengah laluan jalan raya apabila terlibat dengan pergaduhan akibat kemalangan kereta di Ipoh, Perak pada petang Isnin.

Berdasarkan video yang tular di Facebook sejak Selasa, lelaki yang memakai kemeja-T merah tidak bertindak dan hanya bersabar dengan lelaki berbaju belang hitam-hijau itu.

Bagaimanapun, muka dan kepala lelaki memakai kemeja-T merah itu dipukul beberapa kali sehingga menyebabkan dia berasa tidak puas hati dan cuba mempertahankan diri.

Dia kemudian menjatuhkan lelaki berbaju belang itu agar tidak terus bertindak agresif.

Susulan daripada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan menerima satu laporan polis daripada mangsa yang terlibat dalam kejadian pergaduhan itu.

Menurut kenyataan itu, kejadian yang berlaku pukul 6.07 petang Isnin itu berlaku di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh melibatkan kenderaan jenis Honda City dan Toyota Camry.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta Honda City yang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Camry.

Disebabkan rasa tidak puas hati, pemandu Honda City itu menyerang salah seorang orang awam yang cuba untuk menenangkan dia daripada terus bertindak agresif.

Pemandu kereta Honda City yang berumur 47 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan pada Selasa.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram