[VIDEO] Mujur tak suruh jilat, polis arah 2 lelaki bersihkan aising kek melekat di jalan


  • Benua
  • Selasa, 08 Nov 2022

Tangkap layar polis meminta seorang lelaki untuk membersihkan semula kotoran aising yang ada di jalan.

SAMBUTAN ulang tahun kelahiran merupakan satu detik yang paling dinantikan selain menjadi peristiwa sejarah dalam kehidupan seseorang.

Tidak kira sama ada meraikannya dengan makan malam atau acara bersama keluarga dan kenalan, setiap daripada kita tentu sahaja mempunyai cara tersendiri untuk menyambutnya.

Sama juga dengan seorang lelaki di Lucknow, India apabila dia bersama lima rakannya memilih untuk menyambut hari jadi di tepi jalan.

Mengharapkan sesuatu yang berbeza berbanding kebiasaan, lelaki itu cuba untuk memotong kek hari jadi yang diletakkan di atas jalan.

Tindakan lelaki itu menyebabkan aising kek tersebut kemudian berkecah dan melekat di laluan itu. Lelaki terbabit bersama seorang rakannya kemudian cuba meninggalkan lokasi dengan menunggang sebuah motosikal.

Namun malang bagi mereka apabila seorang anggota polis muncul dan meminta untuk mereka membersihkan kotoran aising itu.

Awalnya mereka enggan melakukannya, namun setelah dipaksa akhirnya dia akur dan cuba membersihkan.

Salah seorang rakannya cuba membantu sementara empat yang lain hanya memerhatikan dua rakannya.

Pada masa sama polis itu turut menasihatkan mereka agar bertangungjawab dengan apa yang dilakukan.

“Kamu perlu bersihkan semula kotoran ini agar tidak menyusahkan orang lain nanti,” kata anggota polis itu.

Kejadian lelaki dengan rakannya membersihkan aising tersebut dirakam dan dimuat naik ke sosial media.

Tentu sahaja perbuatan mereka itu mengundang pelbagai reaksi orang awam.

“Mereka bernasib baik polis tersebut tidak meminta mereka jilat semula aising di jalan itu,” kata AnjuBassam di Twttier.

“Kasihan polis di Lucknow tidak membenarkan sambutan hari jadi,” kata Khalas.

“Ini satu tindakan yang betul dan memberi pengajaran agar jangan mencemarkan kawasan awam sesuka hati,” kata shutngo.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram