POLIS menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki menyamun secara berkumpulan sebuah kedai serbaneka di Taman Maju Jaya, Petaling Jaya, di Selangor, menggunakan tukul besi, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.28 pagi.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek yang memakai pelitup muka masuk ke dalam premis berkenaan dengan memakai topi keledar serta menunjukkan tukul ke arah pengadu yang bekerja sebagai juruwang di situ bertujuan untuk mengugut.
Beliau berkata, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenama. Bagaimanapun, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, polis telah menahan kedua-dua suspek berusia 30-an pada hari sama di tepi jalan di Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan merampas barang kes dipercayai hasil samun," katanya pada Selasa.
Mohamad Fakhruddin berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram