Status pinjaman semusim, penyokong mula bersuara mahu Wilkin kekal tapi bersyarat


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

Wilkin mula mencuri perhatian penyokong setia skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

PRESTASI menakjubkan Sabah FC dalam Liga Super diteruskan ke Piala Malaysia apabila mereka sudah hampir pasti mengesahkan slot ke separuh akhir.

Kemenangan tipis 1-0 ketika berdepan kelab Liga Perdana, Kuching City FC di tempat lawan pada Sabtu dilihat sudah selesa buat mereka selain berjaya mengawal permainan sepanjang 90 minit perlawanan.

Selepas ini Sabah bakal menerima kunjungan anak-anak buah Irfan Bakti di padang sendiri iaitu Stadium Likas, pada 11 November dalam usaha mara dengan lebih bergaya.

Pencapaian itu pastinya menggembirakan penyokong dengan rata-rata memberi pujian bertubi-tubi kepada Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Kehadirannya pada hujung musim lalu seakan-akan menjadi faktor utama di sebalik peningkatan ketara skuad Sang Badak sehingga berjaya menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

WhatsApp Image 2022-11-08 at 13.17.19

Wilkin merupakan produk akademi Southampton FC di England. Twitter/Southampton FC

Selain itu, ada juga daripada penyokong yang berasakan pencapaian itu disebabkan kehadiran barisan pemain berkualiti dalam benteng pertahanan mahupun jentera serangan.

Antara nama yang mula disebut-sebut sebagai tonggak pasukan ialah penyerang berdarah kacukan, Stuart Wilkin selepas menyertai skuad secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) II ketika jendela perpindahan hujung tahun lalu.

Musim ini, graduan Southampton Bawah 18 (B-18) itu diberi kepercayaan penuh oleh Kim Swee dengan 18 aksi Liga Super dalam usaha menambah baik kualiti serangan Sang Badak.

Walaupun statistiknya di atas padang tidaklah mengujakan, ia tidak menghalang pemain itu daripada terus tampil mencipta hantaran dan mengelirukan pihak lawan.

Jadi, tidak hairanlah apabila mula terdapat luahan penyokong yang mengharapkan pemain berusia 24 tahun itu kekal bersama skuad Sang Badak musim depan.

EyI5aO6VgAESPWt

Wilkin masih terikat dengan JDT dan perpindahannya masih berstatus pinjaman. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, di sebalik harapan itu, mereka sempat meletakkan syarat untuk mendapatkan Wilkin secara tetap dan bukan melalui perpindahan pinjaman seperti ketika ini.

"Status pinjaman semusim, tetapi kalau musim depan dilepaskan oleh JDT, bolehlah pada saya dikekalkan bersama pasukan," kata Mohd Zulkhairi Abdullah.

"Pada saya, dia boleh kekal, tetapi JDT harus lepaskan dia agar statusnya adalah milik Sabah sepenuhnya," kata Jiwal Liguan.

"Kekal tetapi perlu ditandatangani secara kontrak terus dan bukan lagi sebagai pemain pinjaman kerana itu akan mengganggu rentak dan corak permainan," kata Last Choice.

Berdasarkan kontrak Wilkin, dia tidak boleh diturunkan sekiranya kedua-dua pasukan bertemu dan ia jelas merugikan Sabah FC apabila mereka tewas ketika ketiadaan pemain tersebut.

Perkara itu pastinya merencatkan taktikal yang digunakan barisan kejurulatihan apabila larian dan sumbangannya dalam pasukan mampu menambah baik peluang mereka di hadapan pintu gol lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram