Lima warga asing ditahan, sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual lumpuh


  • 112
  • Isnin, 07 Nov 2022

Kesemua suspek yang ditahan dibawa pulang ke Thailand di bawah Akta Imigresen.

POLIS menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual selepas menahan lima warga asing di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dua lelaki warga Indonesia ditahan pada 26 Oktober lepas susulan maklumat yang diperoleh daripada Polis Diraja Thailand.

"Dalam serbuan itu, kami berjaya menyelamatkan dua wanita warga Thailand dan dua wanita warga Indonesia.

"Empat wanita yang diselamatkan itu masih berada di bawah perintah perlindungan sementara," katanya pada Isnin.

Menurut Acryl Sani, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan tiga wanita warga Thailand di Lembah Klang pada 29 Oktober lepas.

"Tiga wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun itu merupakan ejen sindiket yang ditugaskan merekrut wanita tempatan untuk eksploitasi secara seksual," katanya.

Jelasnya, penangkapan kesemua suspek itu juga melumpuhkan sindiket pemerdagangan manusia yang aktif di Malaysia dan Thailand.

"Kami sentiasa mengekalkan kerjasama erat dengan rakan sejawat di rantau ini untuk membendung jenayah secara holistik.

"Hari ini kita menyerahkan ketiga-tiga suspek warga Thailand itu kepada Polis Diraja Thailand supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka di Thailand.

"(Suspek dihantar pulang) di bawah Akta Imigresen," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Agung Polis Diraja Thai, Surachate Hakparn yang turut hadir berkata, kerjasama rapat antara polis Malaysia dan Thailand membawa kepada kejayaan penahanan.

"Kami akan terus bekerjasama rapat untuk membendung jenayah rentas sempadan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram