JUARA bertahan, Kuala Lumpur (KL) City tewas dengan keputusan 0-1 kepada Terengganu pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2022 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.
Walaupun beraksi di tempat lawan, perkara ini tidak menghalang Terengganu FC (TFC) untuk membuka tirai jaringan apabila Kpah Sherman menjaringkan gol pada minit ke-14 selepas merembat kencang bola muntah dalam kawasan penalti KL City.
Jaringan itu membuatkan anak-anak buah Bojan Hodak terus buntu dalam usaha mencari gol penyamaan dan kedudukan itu bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan kelebihan awal bagi skuad Sang Penyu untuk menghadapi aksi suku akhir kedua nanti.
Diakite mula sertai skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan hujung 2021.
Pada perlawanan tersebut seorang pemain import Terengganu, Pape Diakite mendapat pujian penyokong dan rata-rata mendesak pihak pengurusan segera menyambung kontrak pemain itu bagi mengharungi Liga Super musim depan.
Lebih mesra disapa Papa, pemain ini menyertai skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan hujung 2021 bagi membantu ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengukuhkan lagi benteng pertahanan.
Meskipun memulakan karier bersama Terengganu FC dengan sukar, dia tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pemain import yang disenangi ramai.
Penyokong Terengganu iktiraf Diakite seperti jelmaan pemain legenda Sepanyol, Carles Puyol. — Agensi
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata penyokong Terengganu mengiktiraf Diakite seperti jelmaan pemain legenda Sepanyol, Carles Puyol kerana ketangkasan dan sifat kepimpinan yang dimilikinya semasa mengetuai benteng pertahanan skuad Penyu.
"Nasib baik ada dia defend jadi bagus, bukan sahaja kebal malah sentiasa beri arahan kepada pemain pertahanan lain," kata Sma Setiu.
"Diakite ini bagus, kalau tak ada pemain yang mulut bising, buat provokasi dekat pengadil dan sebagainya, berat Terengganu ini sebab pasukan lawan akan ambil kesempatan, sebab itu dia watak penting, harap kekal lagi musim depan," ujar Sollehuddin Ainunbeauty.
"Commander of defender macam Carles Puyol," jelas Zainal Abidin.
"Rasanya dah perlu sambung kontrak, dia ada kelebihan bagi bertahan bola tinggi dan sepakan sudut, selain itu dia selalu ada pertahankan pemain TFC yang lain," tulis Minz Kimura.
Diakite mendedahkan beberapa pasukan Liga Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Terdahulu, Majoriti pernah menghubungi pemain kelahiran Senegal ini untuk mengetahui status dia bersama Terengganu pada musim depan.
Namun pemain berusia 30 tahun ini mendedahkan dia belum membuat keputusan selain memaklumkan beberapa pasukan Liga Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Terengganu dijadualkan menjadi tuan rumah bagi aksi suku akhir kedua pada 12 November ini menentang KL City bagi memburu slot separuh akhir Piala Malaysia 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram