PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memilih kerajaan baharu Malaysia bermula Sabtu dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan di seluruh negara.
Di pusat penamaan calon itu jugalah nanti bakal menjadi medan ujian terakhir calon sama ada lepas atau tidak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya yang disifatkan paling mencabar ini.
Tentunya paling mencuri tumpuan adalah kerusi yang bakal ditandingi calon heavyweight terutama kepimpinan tertinggi parti masing-masing.
Berikut antara yang menarik sepanjang proses penamaan calon kerusi-kerusi panas di seluruh negara.
1) Parlimen Bera
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera mencuri perhatian apabila diarak 'gelombang biru' ke Pusat Penamaan Calon Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera bagi proses penamaan calon PRU15.
Ismail Sabri yang berbaju Melayu berwarna biru dan ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin diiringi kira-kira 1,000 penyokong.
Naib Presiden Umno itu turut ditemani anaknya, Datin Nina Sabrina dan Gadaffi atau lebih popular dengan panggilan Dafi, serta menantu, Datuk Jovian Mandagie yang mengenakan pakaian sedondon berwarna biru.
Ismail Sabri sah berdepan saingan tiga penjuru, berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH), Abas Awang. Beliau memegang kerusi parlimen itu sejak 2004.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Umno kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15 kali ini.
2) Parlimen Bagan Datuk
Penyandang enam penggal kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba kira-kira 9.15 pagi bagi penyerahan borang pencalonan di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.
Proses penamaan calon bagi Pengerusi BN itu dimeriahkan dengan lautan penyokong berbaju biru yang mengiringi beliau ke pusat penamaan calon.
Beliau yang juga Presiden Umno turut mengenakan baju Melayu berwarna biru sebagai simbolik warna BN.
Perebutan kerusi Parlimen Bagan Datuk menyaksikan saingan empat penjuru antara Ahmad Zahid dengan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (PH), Dr Muhammad Faiz Na'aman (PN) dan calon Bebas, bekas Ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.
3) Parlimen Langkawi
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdepan cabaran empat calon - Armishah Siraj (BN), Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Pengerusi Gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali dan para penyokong.
Berlaku kekecohan di situ selepas seorang penyokong parti Pejuang tiba-tiba pengsan ketika hadir berhimpun penyokong proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Langkawi kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.
Mangsa seorang wanita berusia 50-an kemudiannya dibawa dengan sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Mahathir akan ditentang calon BN, Datuk Armishah Siraj, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan calon Bebas, Datuk Abdul Kadir Sainudin.
4) Parlimen Pagoh
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri perhatian di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang menjadi pusat penamaan calon apabila tiba dengan rombongan konvoi 40 kereta dan 500 motosikal.
Pengerusi PN itu bakal berdepan saingan tiga penjuru berdepan Datuk Seri Razali Ibrahim dari BN, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, serta calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah Abdul Rahman.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengenakan baju Melayu teluk belanga berwarna biru.
Beliau berdepan pertembungan tiga penjuru dalam usahanya untuk mengekalkan kerusi Pagoh untuk penggal keenam. Beliau akan berdepan dengan Razali Ibrahim dari BN dan Iskandar Shah dari PH.
5) Parlimen Tambun
Kerusi Parlimen Tambun bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dengan calon heavyweight Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin yang dahulunya bersama-sama dalam PH, tiba di pusat penamaan calon hampir pada waktu sama.
Anwar selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR tidak mempertahankan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada calon lain.
BN menampilkan Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Amiruddin Md Hanafiah di kerusi itu manakala calon GTA ialah Abdul Rahim Tahir.
6) Parlimen Marang
Calon PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tiba di pusat penamaan calon Parlimen Marang di Pejabat Daerah dan Tanah Marang bagi mempertahankan kerusi itu pada PRU15 kali ini.
Hujan renyai-renyai mengiringi Presiden Pas itu yang tiba di pekarangan pusat penamaan calon tersebut dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
PAS bergabung bersama Bersatu dalam PN pada PRU15. Selain penyertaan BN dan PN, pilihan raya kali ini turut menyaksikan kerjasama politik antara Muda, PKR, Amanah dan DAP di bawah PH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram