KEKECOHAN kecil berlaku di pusat penamaan calon (PPC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur apabila Habib Bourguiba Abd Hamid dinafikan penyertaan untuk mengemukakan nama sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pesara berusia 53 tahun dari Kampung Datuk Keramat tiba kira-kira dua minit selepas penamaan calon ditutup.
Bercakap kepada petugas media di pintu pagar, pesara itu berkata, dia keluar dari rumah pada 8.50 pagi tetapi tidak dapat tiba tepat pada masanya berikutan keadaan lalu lintas dan penutupan jalan di kawasan itu.
“Jika saya dinafikan hak untuk bertanding, saya akan terkilan kerana ingin memperjuangkan kebajikan orang kurang upaya dan anak yatim,” kata Habib yang berbaju putih pada Sabtu.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said keluar untuk menyambut Habib.
Katanya, semua calon mempunyai masa yang mencukupi dari 9 pagi hingga 10 pagi untuk mengemukakan pencalonan mereka.
"Ini soal undang-undang dan akan ada akibat yang serius kalau saya longgarkan peraturan. Saya sudah membuat pengumuman untuk penutupan pencalonan," katanya.
Pencalonan di Titiwangsa ditutup pada pukul 10 pagi, dan empat orang bertanding untuk kerusi itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram