TEMPOH berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah bermula usai tamatnya proses penamaan calon pada 10 pagi 5 November 2022.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan ia berlangsung secara rasmi selama 14 hari sehingga 11.59 malam pada 18 November depan.
PRU tahun ini juga menyaksikan lebih separuh pengundi berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun, sekali gus golongan yang cukup rapat dengan media sosial.
Namun, adakah media sosial patut dijadikan alat propaganda utama calon dan parti politik untuk memancing undi?
Penganalisis politik dan Geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata, memang benar kebanyakan pengundi khususnya golongan muda meluangkan masa yang cukup banyak dalam media sosial untuk mendapatkan maklumat.
Tetapi katanya, tidak semua parti atau calon menggunakan platform itu kerana menyebarkan propaganda dalam media sosial mempunyai cara yang tersendiri.
Tangisan Azwan Ali ketika mengumumkan penarikan dirinya daripada PRU15 cukup cepat tersebar di media sosial. — Facebook
"Walaupun mempunyai banyak pengikut di media sosial, itu tidak menjamin kelebihan kepada calon jika propaganda tidak disebarkan dengan efektif.
"Sebagai contoh, kalau mereka menggunakan video berdurasi setengah jam sebagai alat propaganda di media sosial, perkara itu tidak berkesan.
"Ini kerana pengguna di media sosial tidak mempunyai masa yang banyak untuk ditumpukan pada satu isu," katanya kepada Majoriti.
Kempen fizikal, bukti kekuatan jentera parti, calon
Menurut Azmi, walaupun jumlah pengundi muda ramai, itu tidak membuatkan kempen secara maya perlu jadi keutamaan calon atau parti.
Malah katanya, kehadiran calon dan pertemuan secara fizikal masih menjadi medium penting untuk memancing undi.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menggunakan papan iklan sebagai propaganda politik dalam PRU15. — Twitter
"Bukan sahaja secara bersemuka, tetapi hadir dalam bentuk iklan seperti banner, poster mahupun bunting.
"Perkara ini yang menunjukkan kekuatan parti dan individu. Kalau sesetengah kawasan itu tiada perkara ini, seperti menunjukkan yang calon atau parti itu lemah," katanya.
Ujarnya, parti politik dan calon yang bertanding perlu mengimbangi kempen di media sosial dan secara fizikal.
Tambahnya, jika fokus penuh diberikan kepada bahagian digital sahaja, itu akan mengundang bahaya kepada parti dan calon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram