'Mujur jumpa balik' , Kak Wan tercicir IC ketika berarak ke pusat penamaan calon


  • Politik
  • Sabtu, 05 Nov 2022

WAN Azizah (tengah) berarak bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Parlimen Bandar Tun Razak. — Gambar Bernama

KAD pengenalan antara dokumen penting yang perlu dibawa oleh calon parti politik yang akan bertanding di parlimen masing-masing.

Tanpa kad pengenalan, calon politik berkenaan boleh hilang kelayakan bertanding mana-mana kawasan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berdepan dengan detik cemas selepas tercicir kad pengenalan ketika berarak ke pusat penamaan calon di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Namun, kad pengenalan Wan Azizah yang berjaya ditemukan seorang penyokongnya ternyata memberi kelegaan kepada kira-kira 200 penyokong Pengerusi Penasihat PKR itu, ketika beliau memasuki pekarangan pusat penamaan calon itu.

"Saya dah selitkan IC (kad pengenalan) dalam pas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ini tapi itulah tadi tercicir masa perarakan, mujurlah saya dapat balik. Penting ni!” kata calon Pakatan Harapan (PH) itu kepada pemberita selepas proses penamaan calon P124 Parlimen Bandar Tun Razak.

1795496

Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Wan Azizah, penyandang kerusi Datuk Kamarudin Jaffar (Perikatan Nasional) dan Ketua MCA Tun Razak Datuk Chew Yin Keen (Barisan Nasional).

Seramai 119,185 pemilih layak mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU15.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian dan 15 November bagi pengundian awal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram