[VIDEO] Tiga ditahan, merusuh terbalikkan Myvi di stesen minyak JB


  • 112
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Tangkap layar video keadaan Perodua Myvi yang diterbalikkan oleh sekumpulan individu di sebuah stesen minyak di Kota Masai, Johor Bahru pada Khamis..

POLIS Johor menahan tiga lelaki pada Jumaat bagi membantu siasatan kejadian rusuhan yang melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi diterbalikkan oleh sekumpulan individu di sebuah stesen minyak di Kota Masai, di Johor Bahru, Johor pada Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kesemua yang berusia 17 hingga 24 tahun ditahan berasingan antara pukul 10.45 pagi hingga 12 tengah hari Jumaat di Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai.

Beliau berkata, kekecohan pada pukul 9.40 malam itu dipercayai berpunca daripada kemalangan antara pemandu Perodua Myvi tersebut, iaitu lelaki berusia 21 tahun dengan sebuah motosikal ditunggang lelaki penghantar makanan berusia 21 tahun.

Menurut Mohd Sohaimi, kedua-duanya cedera namun berada dalam keadaan stabil.

"Selepas kejadian (kemalangan), kereta mangsa telah dirosakkan dan diterbalikkan oleh sekumpulan individu tidak dikenali. Bagaimanapun, kita masih menyiasat punca kejadian rusuhan itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala polis sedang giat mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam rusuhan itu.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menerusi aplikasi TikTok dan Facebook memaparkan kekecohan berlaku di stesen minyak itu dan sekumpulan individu dilihat menterbalikkan Perodua Myvi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram