TULAR satu video seorang lelaki disyaki mencuri sebuah barangan yang dipercayai sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) atau dron di sebuah premis yang terletak di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan tindakan suspek yang pada mulanya sedang melihat keadaan premis terbabit sebelum melakukan jenayah.
Berdasarkan video berdurasi 54 saat yang dikongsikan pengguna media sosial di Facebook, suspek yang memakai baju hitam dan kain pelikat itu kelihatan kekok sambil matanya tertumpu ke arah dron yang dipercayai bernilai RM1,200.
Namun, selepas beberapa saat suspek dilihat mencapai dron yang berhampirannya sebelum pergi ke satu tempat untuk menyembunyikan barangan terbabit.
Ketika kejadian, perbuatan suspek berjaya dirakam menerusi CCTV yang mana dia dilihat menyembunyikan dron terbabit di dalam kain pelikat sebelum berlalu pergi.
Dalam pada itu, menerusi kapsyen video terbabit, premis berkenaan memperingatkan peniaga di sekitar kawasan itu supaya berhati-hati dengan suspek.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai menyelar tindakan lelaki tersebut.
"Dia ingat boleh lepas ke? muka dah kena rakam dengan CCTV," jelas Kamal Mohamad.
"Malunya perangai macam ini, kalau nak beli jangan sesuka hati ambil barang orang," ujar Mere.
"Ini barulah boleh dipanggil Mat Sakau, tanpa perasaan malu curi barangan di kedai," kata Najib Najib.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram