TINDAKAN seorang guru melempang pelajar gara-gara tertumpah bungkusan teh ais di dalam bilik darjah mengundang perhatian warganet.
Dikongsikan di laman media, kejadian itu dilaporkan berlaku di sekolah Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 1 Sawit, Kabupaten Boyolali, Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini.
Menerusi video tersebut, guru wanita itu terlebih dahulu memarahi pelajar lelaki berkenaan sebelum menamparnya sebanyak dua kali.
Difahamkan, bungkusan air itu tertumpah ketika pelajar berkenaan sedang menyapu di kelasnya dan percikan air itu tertempias ke beberapa pelajar lain dan juga guru terbabit.
Berang dengan situasi itu, guru wanita tersebut kemudiannya memarahi dan melempang pelajar berkenaan di khalayak ramai.
Meskipun insiden itu cuba dihentikan oleh pelajar lain, situasi dilihat bertambah keruh apabila remaja berkenaan mula mempertikaikan tindakan kasar guru terbabit.
Susulan itu, guru tersebut kemudiannya meminta pelajar berkenaan untuk menanggalkan uniform dan mengelap kesan kekotoran di lantai.
Pejabat Pendidikan dan Kebudayaan Boyolali dilaporkan telah bertemu dengan pihak sekolah bagi membincangkan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada guru tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram